Pasangan kekasih melecur: Mangsa lelaki meninggal dunia - Utusan Malaysia

Pasangan kekasih melecur: Mangsa lelaki meninggal dunia

MOHD. Yusri Hassan Basri (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd. Naim Asnawi pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di pekarangan IPK Perak, Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lelaki yang melecur 90 peratus akibat kebakaran kereta dan motosikal bersama tewan wanitanya di kawasan perumahan di Taman Utama, Bercham di sini kelmarin, meninggal dunia semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, lelaki berusia 64 tahun itu meninggal dunia pada pukul 6.52 petang ketika dalam rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Katanya, mangsa wanita berusia 57 tahun yang melecur 70 peratus turut dirawat di ICU hospital sama dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi siasatan kes cubaan membunuh ini, beberapa tindakan dijalankan di mana pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah mengambil sampel daripada dua kenderaan yang terbakar itu.

“Pasukan bomba juga telah melakukan pemeriksaan dan kita sedang menunggu laporan daripada mereka berkaitan punca kebakaran itu berlaku,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di pekarangan IPK Perak di sini hari ini.

Mengulas lanjut Mohd. Yusri berkata, setakat ini, pihaknya telah merakam percakapan empat individu bagi membantu siasatan melibatkan dua jiran mangsa wanita dan dua lagi anak perempuannya.

Beliau memberitahu, kereta yang terlibat dalam kebakaran itu didaftarkan atas nama anak perempuan mangsa dan salinan geran kenderaan itu juga telah diperoleh.

“Polis akan merakam percakapan mangsa wanita bagi mengenal pasti motif kejadian sebaik sahaja dia sedar,” ujar beliau.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan sebelum ini dilaporkan berkata, kes dua individu parah akibat melecur dalam kebakaran tersebut diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh.

Beliau berkata, terdapat saksi yang mendengar pertengkaran dua individu itu sebelum kejadian kebakaran berlaku.

Terdahulu, media melaporkan dua individu melecur teruk dalam kebakaran pada pukul 10.18 pagi melibatkan kereta jenis Perodua Alza dan motosikal jenis Honda C70.

Kedua-dua mangsa ditemui terbaring di tepi kereta dipercayai telah dibawa keluar oleh orang awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini