PARLIMEN: Peningkatan harga ubat luar kawalan KKM

PARLIMEN: Peningkatan harga ubat luar kawalan KKM

LUKANISMAN Awang Sauni
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peningkatan dan penentuan harga ubat-ubatan serta produk farmaseutikal antara lima hingga 10 peratus adalah di luar kawalan Kementerian Kesihatan (KKM).

Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, penentuan harga ubat dipengaruhi pelbagai faktor ekonomi seperti kadar tukaran wang asing, kos penyelidikan dan pembangunan serta masalah pengilangan.

Sehubungan itu, bagi mengurangkan kos perolehan ubat, katanya, KKM melaksanakan beberapa langkah seperti perolehan ubat dengan kontrak tiga tahun.

“Kaedah ini memberi faedah kepada kerajaan seperti menjimatkan kos kerajaan mendapatkan harga tawaran yang lebih stabil dan tidak berlaku kenaikan harga dalam tempoh tiga tahun.

“Selain itu bagi mengelakkan kos berulang bagi tujuan perolehan seperti kos pengiklanan tender, pemantauan kontrak yang lebih efektif dan keempat mengelakkan terputus bekalan atau perkhidmatan sekiranya berlaku proses tender baharu,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa [BN-Tampin] mengenai tindak balas kementerian berhubung ramalan peningkatan harga ubat-ubatan serta produk farmaseutikal kira-kira lima hingga 10 peratus yang bakal memberi tekanan kewangan kepada pesakit dan waris khususnya individu menghidap penyakit kronik.

Lukanisman berkata, antara langkah bagi mengurangkan kos lain adalah melaksanakan perolehan secara bersama dengan hospital pengajar di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pertahanan (Mindef).

Beliau juga memaklumkan subsidi ubat-ubatan kepada pesakit yang menerima rawatan di semua fasiliti kesihatan KKM masih dikekalkan supaya rakyat tidak terbeban dengan peningkatan kos ubat.

Katanya, KKM turut menyediakan Harga Panduan Pengguna bagi membantu rakyat mendapatkan maklumat harga dan membuat perbandingan harga yang boleh didapati di laman sesawang www.pharmacy.gov.my.

“KKM juga sedang meneliti inisiatif ketelusan harga ubat iaitu fasiliti kesihatan swasta yang dikenal pasti perlu memaparkan harga ubat sepertimana yang diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada 3 Oktober 2023.

“Inisiatif ini dapat meningkatkan akses rakyat kepada bekalan ubat yang lebih kompetitif harganya serta membolehkan rakyat mengetahui harga ubat yang perlu dibayar dan seterusnya membuat pilihan mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN