KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bakal melakukan penyusunan semula hal beras dan padi negara bagi memastikan isu kekurangan bekalan beras putih tempatan dapat diatasi.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penyusunan semula itu perlu selepas India mengambil tindakan untuk mengurangkan eksport beras mereka sehingga memberi kesan pada bekalan dalam pasaran negara.
Menurut beliau, langkah penyusunan semula tersebut pernah dilakukan Malaysia pada tahun 80-an.
“Tahun ini kita akan buat penyusunan baharu, sekarang kita sedang membuat libat urus dengan semua pihak (seperti) penanam padi, pengilang, pengedar (dan) peruncit.
“(Ini) supaya apabila kita umum nanti semua pihak terlibat berpuas hati, ini (merupakan) susunan jangka panjang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta KPKM menyatakan apakah langkah ‘luar biasa’ yang akan diambil oleh kementerian tersebut bagi mengatasi masalah bekalan beras putih tempatan.
Mohamad Sabu berkata, negara akan terus berdepan dengan masalah bekalan beras putih sekiranya tidak mencukupkan bekalan beras di Malaysia.
“Saya cuba memainkan peranan bersama dengan pegawai-pegawai ke arah kita membuka ladang-ladang baharu yang menjadi front utama sekarang ialah di Sabah, Sarawak, Johor, Perak dan Pahang.
“Ini antara (usaha) kita nak memperbanyakkan beras putih, kalau tidak, nak dijual dengan harga yang sedia ada akan berlaku pelbagai tuduhan (seperti) ada beras campur dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya, kerajaan komited untuk mencari jalan bagi mengatasi masalah yang dihadapi kini bagi melegakan semua pihak.
“Sebab itu (sesi) libat urus secara intensif kita sedang lakukan, sudah kita buat dengan para petani dan peladang. Semua memberi pandangan mereka, semua itu kita akan umum dalam masa terdekat dalam dua ke tiga hari ini (mengenai) satu skim baharu.
“Tetapi jangka panjangnya itu lebih kepada penstrukturan semula hal beras dan padi negara. Kita (juga) akan buat libat urus dengan semua Ahli Parlimen, ini masalah negara bukan masalah parti atau kaum mana,” jelasnya. –UTUSAN










