Negara tua: 30 peratus warga emas risiko hidap sarcopenia

Negara tua: 30 peratus warga emas risiko hidap sarcopenia

BERMULA usia 40 tahun manusia dewasa boleh menghadapi kehilangan sehingga lapan peratus daripada jisim otot mereka setiap dekad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 30 peratus rakyat Malaysia yang berusia 60 tahun dan ke atas berisiko menghidap penyakit sarcopenia atau kehilangan jisim otot badan sehingga menjejaskan tahap kekuatan badan, kesihatan dan kualiti hidup mereka menjelang 2030.

Antara punca penyakit tersebut adalah tidak mengamalkan gaya hidup sihat secara konsisten, tidak aktif dan mengambil pemakanan kurang sihat.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjangkakan Malaysia mencapai status ‘negara tua’ pada 2030 yang mana jumlah warga emas mencecah 5.8 juta orang daripada keseluruhan populasi iaitu 38.1 juta.

Ini bermakna kira-kira 1.7 juta orang atau seorang daripada setiap tiga warga emas dijangka mengalami kehilangan jisim otot yang menyukarkan kehidupan harian mereka.

Presiden Persatuan Penuaan Sihat Malaysia (MHAS), Prof. Dr. Shahrul Bahyah Kamaruzzaman berkata, otot manusia merosot secara beransur-ansur seiring dengan peningkatan usia seseorang.

Kata beliau, bermula dari usia 40 tahun, manusia dewasa boleh menghadapi kehilangan sehingga lapan peratus daripada jisim otot mereka setiap dekad dan apabila usia mencapai 60 hingga 70 tahun, kadarnya adalah berganda.

“Dalam kalangan warga emas di Malaysia, kelaziman sarcopenia ini adalah antara 20 ke 30 peratus. Ini meningkat kepada lebih 50 peratus kepada golongan berusia yang duduk di rumah jagaan misalnya, iaitu sama ada mereka terlantar dan memerlukan pertolongan untuk mengendali keperluan hidup seperti mandi serta makan.

“Memandangkan populasi global yang menua secara keseluruhan sedang berlaku di seluruh dunia, jadi jumlah pesakit sarcopenia meningkat seiring masa. Kita perlu sedar ini adalah masalah serta perlu peka sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Untuk rekod, berdasarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia kini sudah menjadi ‘negara tua’ kerana terdapat peningkatan dalam usia penengah iaitu 30.1 tahun pada 2021 kepada 30.4 tahun pada 2022.

Berdasarkan unjuran oleh DOSM pula, pada tahun 2030 kira-kira 15.3 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia berusia melebihi 60 tahun.

Dr. Shahrul Bahyah berkata, antara punca penyakit tersebut adalah tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat secara konsisten, tidak aktif dan mengambil pemakanan kurang sihat.

“Penyakit tersebut juga berpunca daripada beberapa keadaan dihadapi oleh warga emas. Antaranya sejarah penyakit mereka seperti sakit jantung dan obesiti, jadi mereka kurang membuat aktiviti fizikal.

“Gaya pemakanan turut menjadi faktor iaitu mengambil makanan kurang sihat atau mempunyai penyakit di mana individu itu tidak boleh makan dan menyerap zat yang baik untuk badan sehingga menyebabkan mereka kehilangan kekuatan serta jisim otot,” katanya.

Tambahnya, menerusi kajian sebelum ini turut mendapati tahap kesedaran orang ramai terhadap penyakit sarcopenia adalah rendah iaitu hanya sekitar 6.9 peratus.

“Kesedaran komuniti terhadap gejala sarcopenia amat rendah. Saya boleh kata komuniti kita di Malaysia yang tidak peka terhadap kepentingan melakukan senaman dan bergerak aktif, merekalah yang akan cenderung untuk mendapat komplikasi.

“Kesannya apabila jisim otot tergugat menyebabkan kita sukar bergerak seperti berjalan lebih perlahan, nak bangun daripada kerusi akan susah. Malah nak laksanakan kerja pun menjadi sukar.

“Ini membawa kepada risiko untuk jatuh dan sebagainya, ia memang akan memberi impak kepada kualiti hidup harian sekiranya tidak ditangani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN