Penyatuan pekebun kecil getah tingkatkan pengeluaran getah

Model penyatuan pekebun kecil getah tingkatkan pengeluaran getah

Kerajaan rangka pelbagai program untuk tingkatkan pengeluaran hasil getah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti model penyatuan pekebun kecil getah bagi meningkatkan pengeluaran hasil sekali gus mengurangkan import getah mentah yang kini mencecah 950,320 tan bernilai RM5.4 bilion.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kaedah itu dilaksana secara kluster yang menyaksikan setiap kluster melibatkan kawasan seluas antara 500 hingga 1,000 hektar tanaman getah.

Katanya, model itu dapat meningkatkan pengeluaran getah selain mengatasi isu 420,000 hektar kawasan tanaman getah yang sudah matang tetapi tidak ditoreh.

Katanya, tumpuan akan diberikan di negeri seperti Kelantan, Kedah dan Pahang bagi melaksanakan model penyatuan tersebut.

“Dengan penyatuan pekebun kecil getah ini yang ada tiga hingga empat hektar setiap orang, kita kumpulkan mereka menjadi satu entiti bagi menarik syarikat besar dalam industri getah membeli getah daripada pekebun kecil.

“Secara tidak langsung, penyatuan pekebun kecil ini akan melibatkan ketiga-tiga tahap dalam rantaian nilai industri getah iaitu huluan, pertengahan dan hiliran dan menarik minat penoreh apabila mereka mendapat pendapatan yang tetap dan stabil,” katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat semalam.

Katanya, 97 peratus pengeluaran getah di negara ini disumbang oleh pekebun kecil manakala tiga peratus lagi melalui syarikat perladangan.

Jelasnya, daripada 1.1 juta hektar keluasan tanaman getah di Malaysia, 97 peratus diusahakan pekebun kecil dan tiga peratus oleh estet dan daripada 217,000 pekebun kecil yang berdaftar hanya 195,000 pekebun kecil masih aktif.

“Isu mengenai penoreh tidak mahu turun menoreh kerana harga getah rendah tidak akan berlaku kerana penoreh tidak lagi bergantung kepada harga getah semasa. Ini kerana sudah ada pembeli tetap oleh syarikat besar yang terlibat dalam industri pertengahan dan hiliran,” katanya.

Katanya, kementerian akan memastikan perkara itu dilaksana dengan teratur dan tidak timbul isu penipuan yang merugikan pekebun kecil kerana ia melibatkan isu pengambilan tanah.

“Saya percaya, jika penyatuan pekebun kecil dilaksanakan akan menarik tenaga muda menjadi tenaga buruh kerana industri itu mewujudkan pendapatan tetap kepada penoreh getah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN