PETALING JAYA: Seorang peguam mempertikai Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berhubung kenyataan mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi kes kedaulatan Batu Puteh.
Ia bermula apabila Menterinya, Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, RCI Batu Puteh adalah untuk mengumpul maklumat berhubung keputusan kerajaan Persekutuan pada 2018 menarik balik dua permohonan semakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap keputusan ICJ pada 23 Mei 2008.
Muhammad Rafique Rashid Ali musykil kenyataan Azalina yang dilihat ‘bersungguh-sungguh’ dalam menekankan perkara berkaitan itu sedangkan sudah banyak penjelasan diberi terutama daripada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengenai penarikan balik permohonan semakan itu.
“Antara penjelasan tersebut adalah keputusan penarikan balik permohonan semakan berdasarkan nasihat daripada Dr. Brendan Plant yang mewakili tiga perunding antarabangsa dan dua peguam tempatan.
“Harus diingat keputusan kerajaan pada Mei 2018 dipersetujui oleh Kabinet pada masa itu yang mana turut dianggotai sesetengah ahli Kabinet hari ini,” katanya dalam kenyataan semalam.
Pada sesi soal jawab di Dewan Negara kelmarin, Azalina dilaporkan berkata, RCI untuk mengkaji pengendalian kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan tidak boleh menghukum mana-mana pihak dalam kes itu, kerana ia bukan di bawah bidang kuasa suruhanjaya berkenaan.
Katanya, ia sebaliknya bertujuan menjadi ‘misi untuk mendapatkan maklumat’ bagi memastikan proses pengumpulan maklumat kes dapat dilaksanakan dengan baik, sekali gus menyelesaikan isu berbangkit yang dihadapi pasukan petugas khas.
Pada 14 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan penubuhan RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan berkuat kuasa serta merta.
Penubuhan RCI itu dibuat selaras Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) dan diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif selaku Pengerusi.
Muhammad Rafique sebelum ini pernah menggesa supaya Md. Raus menarik diri dari kedudukan itu dan kerajaan harus mengganti Pengerusi RCI dengan seseorang tidak berkonflik kepentingan.
Katanya, RCI bagi kes Batu Puteh berkaitan keputusan Kerajaan Persekutuan pada 31 Jun 2018, untuk menarik balik dua permohonan semakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap keputusannya pada 23 Mei 2008 yang mana Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri ketika keputusan itu dibuat.
Muhammad Rafique memberi alasan, terdapat isu antara Dr. Mahathir dan Md. Raus yang mana bekas ahli Parlimen Langkawi itu memfailkan satu semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bagi mencabar keabsahan pelantikan Raus sebagai Hakim Tambahan Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, Azalina berkata, pemilihan Md. Raus sebagai adalah muktamad selaras di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (119) yang merupakan penjalanan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Malaysia berpendirian isu berkaitan Batu Puteh boleh diselesai dengan penglibatan langsung Peguam Negara Malaysia dan Singapura.
Pada Disember tahun lalu, Anwar meminta Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun, mengadakan rundingan dengan Kerajaan Singapura melibatkan kontroversi tuntutan terhadap Batu Puteh.
Arahan itu meminta Idrus meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit terhadap Batu Puteh yang diserah kepada negara jiran itu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.
Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Dr. Mahathir menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.
Idrus pada Januari 2023, memaklumkan kerajaan berpendapat tindakan menarik balik kedua-dua Permohonan Semakan ke atas keputusan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dan Permintaan Tafsiran ke atas keputusan yang sama adalah tidak teratur dan tidak wajar. –UTUSAN










