Melaka mahu wujudkan jelapang padi selatan

Melaka mahu wujudkan jelapang padi selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan kawasan jelapang padi selatan bagi menjamin bekalan padi negara pada masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, cadangan tersebut melibatkan tiga buah negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Kata beliau, keluasan sawah di Melaka hanya 1,395 hektar dan tidak mencukupi untuk mewujudkan jelapang padi selatan bersendirian yang memerlukan minimum 5,000 hektar tanah.

“Tanah untuk penanaman padi di negeri ini tidak cukup (luas) jadi kita akan melibatkan Negeri Sembilan dan Johor. Jika negeri-negeri ini bersetuju, kita akan bergabung untuk membentuk jelapang padi selatan.

“Banyak kelebihan akan kita dapat kerana segala sumber daripada kerajaan Persekutuan akan diberikan kepada jelapang dahulu seperti pembekalan benih, baja dan pengairan,” katanya dalam sidang akhbar ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

MUHAMAD AKMAL Saleh bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar ketika Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

Tambah Muhamad Akmal, kerajaan negeri sedang melaksanakan kajian bagi mewartakan tanah sawah demi keterjaminan makanan di Melaka.

Menurutnya, pewartaan itu bagi mengekang tanah sedia ada terus digunakan untuk projek pembangunan seperti perumahan, sekali gus mengecilkan keluasan tanah pertanian.

“Kalau kita tidak buat perkara ini sekarang kita akan berdepan masalah kemerosotan padi. Ketika ini kebanyakan tanah sawah di Melaka terletak di Alor Gajah dan Jasin,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN