Orang ramai khususnya mangsa pinjaman wang tidak berlesen atau ahlong diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran bantuan penyelesaian hutang yang dikesan hanya mahu mengaut keuntungan ringgit.
Taktik licik segelintir pihak atau platform rundingan palsu itu hanya akan menambah beban kewangan sedia ada, selain menjerat mangsa ke dalam kitaran hutang yang lebih kronik.
Ketua Unit Banteras Ahlong DM Pusat Pengajian Al-Quran dan Fardhu Ain, Adam Mustapa atau lebih dikenali sebagai AlongDM mendedahkan, pihaknya menerima banyak aduan daripada mangsa yang mendakwa menjadi umpan kepada pihak tertentu yang berselindung di sebalik nama badan tertentu.
Lebih malang, ada perunding yang dikesan menggunakan kesusahan mangsa semata-mata untuk dijadikan bahan kandungan (content) media sosial.
“Ada mangsa mendakwa mereka perlu masuk ke dalam video bagi tujuan content sebelum bantuan diberikan. Sedangkan pada masa sama, kes mereka masih belum selesai sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, antara tanda amaran yang perlu diperhatikan oleh orang ramai termasuklah ketiadaan pejabat operasi yang jelas, pengenalan caj tersembunyi serta ketiadaan tempoh akhir penyelesaian kes.
Malah, terdapat perunding yang tidak bertanggungjawab bertindak menggalakkan mangsa membuat pinjaman ahlong baharu semata-mata untuk membayar yuran rundingan mereka.
Berkongsi lanjut, AlongDM mendedahkan pihaknya menerima aduan seorang peniaga yang tertarik dengan konsep bayaran balik ‘on hand’ di aplikasi TikTok.
Bagaimanapun, mangsa akhirnya mendakwa dikenakan yuran konsultasi RM50 serta caj rundingan sebanyak 20 peratus daripada nilai pinjaman, namun masalah hutangnya terus tergantung.
Dalam kes berasingan, seorang pekerja mendakwa dikenakan caj konsultasi mencecah RM500 serta diminta membuat pinjaman baharu daripada ahlong lain bagi membayar yuran rundingan sebanyak 30 peratus.
Bagi mengekang masalah ini daripada terus berlarutan, DM Pusat Pengajian Al-Quran dan Fardhu Ain yang ber-ibu pejabat di Sentul, Kuala Lumpur sedia menawarkan khidmat pengurusan bayaran balik yang telus.
Bantuan tersebut diberikan berdasarkan jumlah wang sebenar yang diterima peminjam tanpa sebarang caj tambahan atau faedah (bunga), dengan syarat peserta perlu mengikuti kelas pengajian Al-Quran dan Fardhu Ain yang disediakan secara percuma.
Orang ramai yang memerlukan khidmat nasihat atau berdepan masalah berkaitan boleh menghubungi pihak pengurusan melalui saluran rasmi di talian 012-586 2424 atau 03-8066 6262.










