JERANTUT: Martabak Jerantut Feri memang sangat sinonim bagi penduduk daerah ini dan luar ketika bulan Ramadan malahan turut menambat selera pelancong luar yang berkunjung ke Taman Negara Kuala Tahan.
Peniaga martabak, Jasmizan Mohamad, 33, berkata, pada bulan Ramadan ini dia serta pembantunya perlu menyiapkan sebanyak 500 keping martabak daging dan ayam setiap hari untuk dijual kepada pelanggan di daerah ini dan luar.
“Pada bulan Ramadan ini, saya menyediakan lebih banyak martabak berbanding hari biasa (bukan bulan puasa) cuma kira-kira 300 keping sahaja martabak ayam dan martabak daging untuk pelanggan yang singgah di restoran kami.
“Setiap kali bulan Ramadan, martabak feri mendapat permintaan tinggi terutama pelanggan tetap di daerah ini dan berdekatan untuk berbelanja martabak sebagai juadah berbuka puasa,” katanya di Jerantut Feri dekat sini hari ini.
Menurut Jasmizan, pelanggan dari luar daerah seperti Kuantan, Maran, Temerloh, Raub, Cameron Highlands malahan Lembah Kelang sanggup memandu kereta untuk berbelanja martabaknya pada bulan puasa sama ada membawa balik atau berbuka puasa di mana-mana restoran di bandar Jerantut.
Katanya, dia serta pembantunya menyediakan makanan itu di restoran ‘Murtabak Ferry’ milik abang iparnya, Ukhairi Abu Musa Sahari dan mula memasak martabak pada pukul 11 pagi untuk dijual kepada pelanggan yang datang berbelanja di pasar Ramadan Kampung Jerantut Feri pada sebelah petang.
“Ramuan seperti daging dan ayam, telur serta campuran lain sudah disediakan pada awal pagi oleh pembantu kedai wanita dan kami cuma memasak martabak kira-kira 500 keping setiap hari dalam bulan Ramadan untuk dijual termasuk tempahan pihak yang mengatur majlis iftar,” katanya.
Dia yang mula membuat martabak sejak berusia 15 tahun lagi, berkata untuk menyediakan 500 keping martabak itu, sebanyak 1,000 biji telur ayam diperlukan dalam anggaran dua biji untuk sekeping martabak bagi mencapai kualiti rasa dan kelazatannya.
“Bahan seperti bawang, rempah dan sebagainya antara campuran bersama daging dan ayam supaya menambahkan lagi aroma dan kelazatan yang sememangnya diingini oleh kebanyakan pelanggan yang datang ke restoran Murtabak Ferry,” katanya.
Tambahnya, kedua jenis martabak itu habis dijual menjelang waktu berbuka puasa setiap hari dengan harga RM14 sekeping termasuk (martabak) frozen dan sehingga ini pelanggan suka kerana banyak isi perencah dan teksturnya tebal,” katanya.
Dia berkata, keadaan ekonomi yang tidak menentu termasuk kenaikan harga di pasaran juga menjejaskan sedikit jualan martabaknya kerana pelanggan perlu berjimat walaupun harga makanan itu (martabak) masih kekal RM14 sejak beberapa tahun lalu.
“Tahun ini saya hanya menyediakan kira-kira 500 keping martabak ayam dan daging berbanding 800 keping sebelum ini akibat kurang permintaan pelanggan pada awal bulan puasa, kemungkinan akan berterusan sehingga akhir Ramadan,” katanya. – UTUSAN










