PUTRAJAYA: Malaysia mengalu-alukan penerimaan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan resolusi untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta di Gaza.
Resolusi itu turut meluluskan pembebasan tanpa syarat semua tebusan dan menghapuskan semua halangan kepada pemberian bantuan kemanusiaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penerimaan resolusi itu merupakan satu kejayaan besar selepas konflik di Gaza meletus lebih lima bulan lalu.
Jelas beliau, Malaysia telah lama menyeru agar UNSC menunaikan tanggungjawab yang diamanatkan menerusi piagamnya untuk melindungi rakyat Palestin daripada kekejaman Israel yang setakat ini meragut nyawa lebih 32,000 orang awam.
“Sekatan yang disengajakan oleh Israel menyebabkan tahap bencana makanan, dengan risiko kebuluran dan kekurangan zat makanan bagi 2.3 juta penduduk di Gaza.
“Malaysia menyeru UNSC untuk memastikan Israel memenuhi kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa dan segera menamatkan kekejamannya terhadap rakyat Palestin.
“Malaysia tetap komited terhadap perjuangan Palestin dan akan meneruskan usaha mengikut kemampuan untuk penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya, serta kemasukan Palestin sebagai ahli penuh PBB,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, kesemua 14 Ahli Majlis UNSC mengundi bersetuju dan meluluskan resolusi itu termasuk Russia dan China, manakala, Amerika Syarikat (AS) mengambil pendirian berkecuali dan tidak menggunakan kuasa veto menghalang resolusi itu.
Resolusi itu akan memastikan gencatan senjata sementara dan secara kekal dilaksanakan, sejak perang berlanjutan dari 7 Oktober lalu.
Kandungan resolusi itu turut menuntut pejuang Hamas membebaskan baki tawanan di Gaza.
Keputusan berkenaan mengundang kemarahan rejim Zionis yang bertindak membatalkan kunjungan ke AS sebagai tanda protes.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby berkata, negara itu mengambil sikap berkecuali kerana kandungan resolusi itu tidak mengutuk pejuang Hamas. – UTUSAN










