PETALING JAYA: Malaysia memperoleh potensi pelaburan RM46 bilion dan eksport RM2.4 bilion menerusi Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Jerman dan Perancis, baru-baru ini.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan (MITI) dan Industri memaklumkan, kejayaan itu adalah sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman dari 11 hingga 15 Mac lepas dan misi lawatan Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Perancis dari 11 hingga 19 Mac lalu.
Kata kenyataan itu, delegasi misi melibatkan pegawai MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengadakan pertemuan peringkat tinggi bersama syarikat Eropah dalam sektor disasarkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Ia seperti semikonduktor, automotif, aeroangkasa, kereta api, bahan kimia, peralatan perubatan selain jentera dan peralatan.
“Antara syarikat terkemuka yang ditemui semasa misi itu ialah X-Fab, Melexis, Infineon Technologies AG, Airbus Group, Schott Glass, BMW, Nexperia, B-Braun, Michelin, Institut de Soudure (IS) Groupe dan Simaero.
“Syarikat terbabit berkongsi pelan pelaburan mereka dan minat untuk membina kerjasama strategik di Malaysia, yang akan menyumbang kepada landskap ekonomi Malaysia terutamanya dari segi pemindahan teknologi dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dalam negara,” kata kenyataan itu hari ini.
Kata kenyataan itu, Tengku Zafrul daripada segi potensi eksport juga mengadakan perbincangan bersama Airbus Group, Deutsche Bahn, Safran, dan X-Fab (Perancis) untuk mengukuhkan lagi minat mereka.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, interaksi dengan syarikat-syarikat Jerman dan Perancis adalah sebahagian daripada libat urus strategik untuk memberikan perkembangan terkini kepada mereka mengenai pelaksanaan NIMP 2030, komitmen Malaysia terhadap pelaksanaan pantas projek selain pendirian mesra perniagaan untuk mengembangkan pelaburan dan perdagangan.
“Pintu kita sentiasa terbuka untuk syarikat dari Jerman dan Perancis, dua pendorong utama pertumbuhan ekonomi dan kuasa besar perindustrian Eropah, yang akan merintis jalan bermakna ke arah perindustrian semula negara kita serta melonjakkan ekonomi.
“Libat urus ini juga disasar untuk meningkatkan pembabitan Malaysia dalam rantaian nilai global, sekali gus memudah cara integrasi ke dalam pasaran antarabangsa.
“Dengan membina hubungan kerjasama dengan pemain-pemain penting di Jerman dan Perancis, Malaysia mahu memperluas kehadiran dalam perdagangan global dan memperkukuh kedudukan sebagai rakan yang boleh dipercayai serta berdaya saing dalam pelbagai industri,” katanya. – UTUSAN











