PETALING JAYA: Malaysia mengkritik sikap ‘dua darjat’ negara barat dalam memberi respon berhubung konflik antara Rusia dengan Ukraine berbanding Palestin dengan Israel yang sekali gus mendedahkan sikap mementingkan diri mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia tidak sepatutnya mengambil sikap selektif dalam menegakkan undang-undang antarabangsa terhadap apa jua konflik yang sedang melanda.
“Malangnya, tragedi menyayat hati yang sedang berlaku di Gaza telah mendedahkan sikap mementingkan diri dengan undang-undang berasaskan peraturan yang dibanggakan.
“Respon berbeza barat terhadap penderitaan bertentangan dengan alasan diberikan. Mengapa? Sebagai contoh, Barat sangat riuh, bersungguh-sungguh dan tegas mengutuk pencerobohan Rusia terhadap Ukraine namun membisu dalam pertumpahan darah tanpa henti yang dikenakan ke atas lelaki, wanita dan kanak-kanak Gaza yang tidak bersalah.
“Iya, ada pengecualian namun sedikit tetapi perbezaannya ketara,” katanya ketika menyampaikan ucapannya bertajuk ‘Hala Tuju Geopolitik: Peranan Penting Malaysia dan Australia di Asia Pasifik’ di Universiti Nasional Australia (ANU), semalam.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, hakikat sebenar yang sedang berlaku adalah sebahagian besar dunia Barat telah memberi mandat (carte blance) kepada tentera Israel dalam membunuh rakyat Palestin.
“Apabila Afrika Selatan mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarbangsa di bawah Konvensyen Genosid, ada negara mengecam tindakan tersebut dan menyifatkan sebagai tidak produktif.
“Tetapi mana yang lebih konsisten dengan konsep undang-undang berasaskan peraturan berbanding rayuan terhadap undang-undang sama di hadapan 17 panel hakim?,” katanya.
Tegas Perdana Menteri, Malaysia dan Australia mempunyai kepentingan tinggi dalam keluhuran undang-undang antarabangsa dengan mematuhi undang-undang diiktiraf secara universal membabitkan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).
Katanya, ketika semua sedang berusaha membina negara yang aman dan pertumbuhan ekonomi, beliau percaya adalah tidak cerdik jika ada tanggapan bahawa undang-undang antarabangsa bebas dan ketidakselarasan dalam penggunaan prinsip, peraturan dan norma akan dibiarkan tanpa disedari.
“Tidak juga kita secara sinis mengisytiharkan tiada negara yang boleh konsisten dalam hal ehwal antarabangsa.
“Konsisten penting, undang-undang antarabanga juga penting. Begitu jua dengan komitmen untuk berlaku adil dan saling menghormati di antara negara. Amat penting untuk Malaysia dan Australia menyatukan kuasa politik dan jentera diplomatik bagi tujuan tersebut. Keupayaan kita dan menyumbangkan pelbagai kemungkinan,” katanya.
“Malaysia dan Australia mungkin tidak melihat rantau dan dunia ini dalam kaca mata sama, tetapi sasaran kita sama,” katanya. – UTUSAN










