KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjaya mengutip lebih RM255 juta zakat pada tahun lalu iaitu peningkatan 11.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, kutipan zakat pendapatan merupakan penyumbang terbesar iaitu lebih RM135.2 juta manakala zakat perniagaan RM58.4 juta.
Menurut Shaikh Ismail, turut berjaya dikutip adalah zakat wang simpanan sebanyak RM38.8 juta, zakat fitrah (RM10.3 juta), zakat harta (RM9.9 juta) serta zakat emas/perak (RM1.8 juta).
Selain itu, beliau berkata, zakat tanaman turut menyumbang kutipan RM409,619.30, selain zakat ternakan (RM141,055.60) dan zakat galian (RM23,134.74).
“Secara keseluruhan sepanjang tahun lalu, MAIDAM telah berjaya mengutip RM255,274,985.43 bayaran zakat yang juga peningkatan 11.9 peratus berbanding 2022.
“Sasaran awal kutipan adalah RM260 juta dan jumlah kutipan ini berjaya mencapai 90 atau 95 peratus daripada yang disasarkan, jadi MAIDAM tetap menganggap ianya satu kejayaan.
“Kita berterima kasih kepada pembayar zakat terutama penyumbang zakat perniagaan yang turut meningkat,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Agihan Bantuan Zakat Sempena Ramadan di sini, hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 25,887 fakir miskin layak menerima bantuan berkenaan iaitu RM300 bagi isi rumah seorang atau tunggal, RM500 bagi isi rumah dua atau tiga orang dan RM700 bagi isi rumah empat orang ke atas.
Katanya, bantuan itu membabitkan peruntukan lebih RM13.8 juta berbanding RM11.8 juta kepada 22,023 penerima pada 2022, sekaligus menunjukkan pertambahan golongan fakir miskin di negeri berkenaan.
Sementara itu, Shaikh Harun memberitahu, jumlah agihan zakat oleh MAIDAM bagi tahun 2023 secara keseluruhan adalah hampir RM258 juta iaitu peningkatan 10 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Pertambahan kadar kemiskinan menyaksikan golongan miskin menjadi penerima terbesar zakat dengan hampir RM146 juta agihan tetapi apa dimaksudkan adalah miskin relatif.
“Agihan zakat turut melibatkan golongan fisabillah (RM38.7 juta), amil (RM32.5 juta), fakir (RM29.9 juta), muallaf (RM9.2 juta), al-Gharimin (RM3.9 juta), al-Riqab (RM300,464) dan ibnusabil (RM100,000),” tambahnya. – UTUSAN










