Mahkamah kekalkan hukuman mati 6 lelaki bunuh Kevin Morais

Mahkamah kekalkan hukuman mati 6 lelaki bunuh Kevin Morais

LIMA daripada enam lelaki dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais tiba di Mahkamah Rayuan bagi keputusan rayuan mereka. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan sebentar tadi mengekalkan hukuman mati terhadap enam lelaki kerana membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais yang mayatnya ditemukan dalam tong dram yang disimen, sembilan tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak rayuan mereka.

ANTHONY KEVIN MORAIS

Mahkamah berpendapat, perayu pertama iaitu bekas pakar patologi, Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 61, mempunyai niat membunuh Kevin manakala lima yang lain adalah orang suruhannya.

Lima yang lain ialah bekas pemberi pinjaman wang, S. Ravi Chanran, 53, dan empat penganggur, R. Dinishwaran, 32; A. K. Thinesh Kumar, 31; M. Vishwanath, 34 serta S. Nimalan, 31.

Mereka merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Julai 2020 yang mensabit dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Kevin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh Kevin Morais ketika dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya ke Nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara pukul 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Kevin dilaporkan hilang pada 4 September 2015, yang mana sebelum itu dilihat meninggalkan kondominiumnya di Menara Duta, dengan menaiki kereta Proton Perdana.

Mayatnya kemudian ditemukan dalam tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September 2015.

Dalam hujahan rayuan, Dinishwaran diwakili peguam, M. Manoharan manakala peguam-peguam lain iaitu Datuk N. Sivananthan hadir bagi pihak Kunaseegaran, Burhanudeen Abdul Wahid (Thinesh Kumar), Afifuddin Ahmad Hafifi (Vishwanath), Amer Hamzah Arshad (Nimalan) dan Kitson Foong (Ravi).

Sementara pihak responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar, Mohd. Fairuz Johari dan Mohd. Fuad Abdul Aziz. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN