Lost in Perfection, entah apalah makna sempurna - Utusan Malaysia

Lost in Perfection, entah apalah makna sempurna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SECARA peribadi, memang saya ada kecenderungan menyukai naskhah genre psychological thriller apa lagi jika ia dibawakan oleh seorang perempuan sebagai watak utama.

Sebuah filem Taiwan baru memasuki Netflix bertajuk Lost in Perfection menawarkan itu, yang juga merupakan debut sutradaranya, Sung Hsin Ying untuk naskhah genre berkenaan.

Filem dibuka dengan nuansa melodrama, ubat-ubat bertabur di lantai dan seorang perempuan berbaring di hujung katil.

Semua di dalam bingkai itu bagai dingin dan sedang mati memberi petanda itulah pengalaman yang akan disaksikan penonton hingga ke akhir naskhah.

Lost in Perfection menceritakan tentang seorang jurnalis terkenal, Li Mei yang selalu membongkar kes berprofil tinggi. Sebuah kes jenayah muncul, membabitkan polis, peguam, serta kecaman orang ramai di media sosial tentang seorang wanita tidak cantik dituduh menjadi pembunuh.

Lebih menarik, wanita berkenaan yang dilakonkan Lin Mei Hsiu mula menjalin cinta dengan bapa kepada Li Mei yang sudah bergelar duda sejak 20 tahun lalu.

Jika berita perkahwinan bapanya terbongkar, maka karier Li Mie dan jolokannya jurnalis terhebat, cantik dan bijak Taiwan akan tercalar.

Li Mei cuba menyelamatkan dan melindungi kesempurnaan hidupnya. Seperti kebanyakan naskhah Taiwan yang saya pernah tonton, entah mengapa kerjaya jurnalis selalu dianggap cuba memburukkan keadaan.

Orang yang menjadi jurnalis selalu dianggap mengheret pihak tidak bersalah ke tali gantung. Itulah tanggapan yang saya dapat daripada stereotaip kerjaya ini yang dicerminkan dalam drama dan filem asal Taiwan.

Mungkin sahaja, itu memang realiti dunia kewartawanan di negara tersebut dan filem ini hadir sebagai sebuah cerminan dan kritikan.

Lebih buruk lagi, Lost in Perfection tidak hanya menunjukkan betapa teruknya sistem kewartawanan, malah sistem keadilan yang bobrok melindungi mereka yang duduk di tampuk pimpinan.

Jenayah dirangka dengan baik, harus mempunyai lebih ramai sekutu dan penyokong walau harus mengorbankan nyawa orang lain.

Namun begitu, saya melihat filem ini lebih daripada sekadar jenayah. Sung bagi saya cuba membogelkan tanggapan masyarakat yang mudah mempercayai sosok yang dilihat mempunyai paras lebih cantik.

Misalnya, Mei Hsiu yang tidak mempunyai badan ala model, berisi dengan mudahnya dilabel ‘pembunuh hodoh’ menyebabkannya mendapat kecaman walaupun undang-undang mengatakannya tidak bersalah.

Namun jika seorang perempuan itu cantik, menawan, dia seolah-olah terhindar daripada sebarang malapetaka dan dengan mudah ‘menyogok’ orang sekeliling dengan godaannya.

Tiada aksi yang terlalu dahsyat dan kematian yang terlalu membuat penonton melopong dalam naskhah ini.

Ia naskhah teka teki yang cantik walaupun kita boleh sahaja mengetahui pengakhiran cerita ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya