Kanak-kanak lima tahun cedera, jatuh dari tingkat dua pangsapuri - Utusan Malaysia

Kanak-kanak lima tahun cedera, jatuh dari tingkat dua pangsapuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun cedera selepas terjatuh dari tingkap rumah di tingkat dua sebuah pangsapuri di Taman College Height, Sikamat, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu, kanak-kanak perempuan tersebut mengalami kecederaan luka di bahagian dagu.

Selain itu menurut beliau, kanak-kanak itu turut mengalami patah tulang paha dan kini masih menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati mangsa iaitu kanak-kanak tersebut telah ditinggalkan oleh ibu bapanya tanpa jagaan di rumah bersama adik perempuannya berusia tiga tahun.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 atas kesalahan pengabaian kanak-kanak. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Mohamad Hatta lagi, kedua-dua ibu bapa kanak-kanak perempuan berkenaan berusia lingkungan 30-an sudah diambil keterangan bagi tindakan selanjutnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN