JOHOR BAHRU: MCA diminta tidak berkempen memburukkan calon kerajaan perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), Adam Adli Abdul Halim sebaliknya berkata, pihaknya menerima keputusan MCA untuk tidak terlibat dalam PRK itu, namun tidak seharusnya pula mengeruhkan keadaan.
Menurut beliau, dalam masa sama pihaknya akan berusaha menyelesaikan sebarang isu berbangkit antara MCA dan parti-parti komponen dalam PH.
“Kita terima kalau ada kemarahan atau perkara yang belum selesai. Cuma dalam keadaan sekarang, jika tidak mahu bantu kempen, jangan pula memulakan kempen lain yang seolah-olah mengganggu, mencemarkan nama calon dan sebagainya.
“Walaupun PRK ini hanya melibatkan kerusi DUN di Selangor, namun naratif yang akan dimainkan bersifat nasional. Biasanya kempen politik memang panas kita tidak nafikan, tetapi jangan kita tambah gelora, jangan timbulkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) peringkat negeri di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, hari ini. – UTUSAN










