LAWAS: Sarawak sekali lagi meletakkan sasaran untuk muncul juara pada Sukan Malaysia (sUKMA) XX1 (2024) yang akan berlangsung di Sarawak dari 17 hingga 24 Ogos ini.
Sebanyak 37 jenis sukan akan dipertandingkan pada temasya tahun ini.
Sebagai tuan rumah temasya sukan terbesar negara itu (untuk kali ketiga Sarawak sebagai tuan rumah), Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peluang selaku tuan rumah harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk kontinjen Sarawak muncul juara keseluruhan.
Sehubungan itu, Abdul Karim menggesa barisan atlet Sarawak yang akan bersaing pada temasya sukan itu nanti agar berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai misi berkenaan.
Muncul sebagai kontinjen bergelar juara 30 tahun lalu, iaitu pada 1994, Abdul Karim berkata, temasya tahun ini sebagai peluang untuk mengembalikan kegemilangan Sarawak di pentas temasya sukan terbesar negara itu.
“30 tahun adalah satu tempoh yang sangat panjang dan kali ini merupakan peluang kita kembali menyinar,” katanya selepas acara Larian Baton Sukma 2024 di sini, hari ini. – UTUSAN










