WASHINGTON: Ahli-ahli Demokrat di Senat Amerika Syarikat (AS) bertindak menyekat kelulusan Rang Undang-undang (RUU) dasar pertahanan tahunan bernilai AS$1.15 trilion (RM4.6 trilion).
Tindakan itu dibuat berikutan kekecewaan terhadap krisis perang di Iran serta kegagalan Presiden, Donald Trump untuk berunding dengan Kongres berhubung keputusannya menghantar tentera AS ke kancah konflik berkenaan.
“Trump memulakan perang ini tanpa sebarang kebenaran, tanpa strategi dan tanpa pelan penamat,” tegas Senator, Chuck Schumer dari New York, yang juga merupakan Pemimpin Demokrat di Senat dalam ucapan beliau bagi mengumumkan undian penolakan terhadap RUU tersebut.
Lapor Reuters, undian prosedur bagi Akta Kebenaran Pertahanan Negara (NDAA) itu akhirnya gagal mendapat kelulusan.
Walaupun undian menyokong mengatasi undian menentang dengan keputusan 50 lawan 46, RUU berkenaan masih gagal mencapai sasaran 60 undi yang diperlukan untuk membolehkannya dibawa ke peringkat seterusnya di dewan Senat yang dianggotai 100 ahli itu.
Keputusan undian tersebut dilihat mengikut garis parti politik secara ketara. Setiap ahli Republikan mengundi untuk menyokong pelaksanaannya, kecuali Pemimpin Majoriti Republikan dewan itu, John Thune dari South Dakota yang mengundi menentang di bawah peraturan Senat semata-mata untuk memasukkan usul pertimbangan semula.
RUU itu sudah dijangka akan tergantung, selepas sembilan ahli Demokrat dalam Jawatankuasa Angkatan Tentera mengundi menentang NDAA semasa panel tersebut menelitinya pada bulan lalu. Sebelum ini, NDAA kebiasaannya diluluskan dengan sokongan dwiparti yang kukuh.
Pihak Demokrat bimbang tindakan meluluskan belanjawan besar Pentagon itu akan dilihat sebagai satu bentuk persetujuan terhadap perang ke atas Iran, yang mula meletus ekoran serangan bersama oleh AS dan Israel pada 28 Februari lalu.
Undian sekatan itu berlaku ketika pentadbiran Trump memaklumkan pihaknya sudah melaksanakan semula sekatan maritim ke atas semua pelabuhan Iran yang disifatkan sebagai peningkatan terbaharu dalam konflik berkenaan selain memulakan siri serangan udara terbaharu.
Selain itu, pihak Demokrat turut membantah tindakan pentadbiran Trump yang mendesak agar perbelanjaan ketenteraan dipertingkatkan kepada jumlah keseluruhan AS$1.5 trilion (RM6.1 trilion), sedangkan program kebajikan sosial untuk rakyat AS dalam masa yang sama sedang dipotong.
Di samping peruntukan AS$1.15 trilion (RM4.6 trilion) yang diluluskan dalam NDAA, Trump juga meminta tambahan AS$350 bilion (RM1.4 trilion) lagi daripada Kongres di bawah proses penyesuaian bajet yang membolehkan dana tersebut diluluskan tanpa memerlukan sokongan Demokrat.
Dalam ucapan beliau yang menggesa sokongan terhadap RUU itu, Thune menuduh pihak Demokrat sengaja mengutamakan kepentingan politik berbanding isu keselamatan negara.
“Ini merupakan RUU yang membantu memastikan pasukan tentera kita sentiasa bersiap siaga untuk hari ini dan bersedia bagi mendepani masa hadapan,” katanya.










