PUCHONG: Selepas melalui pelbagai fasa sukar sepanjang 25 tahun bergelar anak seni, penyanyi, Shila Amzah mengakui kini berada dalam fasa paling tenang apabila akhirnya memiliki kebebasan untuk menentukan hala tuju kehidupan dan kerjayanya sendiri.
Menurut Shila, kebebasan itu turut membuka ruang untuk dirinya memulakan langkah lebih besar dalam berkarya, selain tidak menolak kemungkinan berhijrah semula ke China sekiranya peluang kerjayanya di negara berkenaan terus berkembang.
“Saya boleh katakan kini saya boleh menarik nafas lega dengan kebebasan yang dimiliki. Cuma kadang-kadang saya dan Ubai ada terfikir seandainya segala-galanya berlaku ataupun berjalan dengan lebih pantas untuk mendapatkan apa yang kami sasarkan.
“Maka mungkin pada waktu itu saya tidak akan menolak kalau saya perlu berhijrah kembali ke China.
Saya juga akan bawa anak-anak untuk menetap di sana kerana sekarang ini setiap kali saya ke sana atas urusan kerja, ia mengambil masa tiga atau empat hari kadang-kadang kena tinggalkan anak.
“Mujur, rumah mak dan juga bapa tiri saya memang 10 minit sahaja daripada kami. Jadi mak sayalah yang banyak tengok-tengokkan anak. Walaupun kita ada penbantu, pada masa sama kami ada keluarga juga.
“Itu antara pengorbanan yang saya perlu lakukan. Tetapi saya akan pastikan anak-anak saya tengok mama mereka dan rasa bangga dengan saya. Itu benda yang pertama yang selalu berada dalam fikiran saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Shila berkata demikian ketika ditemui di sidang media Konsert Shila Amzah – KITA: 25 Tahun Bersama, pada Rabu.
Tambah, keputusan untuk mempertimbangkan penghijrahan itu bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya bagi memudahkan urusan kerja memandangkan kekerapan berulang-alik antara Malaysia dan China akan menjadi semakin memenatkan.
“Saya sebenarnya saya bakal menandatangani kontrak lain di sana. Saya tidak boleh dedahkan berapa lama ataupun untuk apa buat masa sekarang, tetapi kontrak itu agak lama. Saya fikir kalau asyik berulang-alik, sebenarnya penat juga. InshaAllah, kalau tiada ,” jelasnya.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Memori Tercipta itu menegaskan perancangan tersebut bukan bermaksud dia melupakan peminat di tanah air atau menganggap China lebih menghargai bakatnya.
“Saya duduk di China daripada tahun 2012 sampai lapan tahun. Kemudian saya balik ke Malaysia, lepas itu datang Covid-18 dan sebagainya. Saya merasakan rezeki itu tiada pada waktu itu.
“Jadi bila sekarang ini peluang itu datang semula, bukan saya mahu cakap tentang penghargaan atau apa. Bagi saya, di mana-mana ada rezeki, itulah yang saya percaya.
“Dan itu tidak bermaksud saya melupakan peminat saya di sini. Kalau tidak, tak adalah saya buat album Melayu atau buat konsert di sini. Saya cuma cuba mencari keseimbangan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Shila bakal berkongsi pentas dengan Mimi Fly, Hael Husaini, DJ Fuzz, Kidd Santhe dan Balan Kashmir dalam Konsert Shila Amzah – KITA: 25 Tahun Bersama yang bakal berlangsung di Arena of Stars, Genting Highland pada 15 Ogos ini.










