Nasib PDRM FC dalam Liga Super hari ini

Nasib PDRM FC dalam Liga Super hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Status penyertaan PDRM FC dalam saingan Liga Super pada musim 2026/2027 yang bermula pada 21 Ogos ini bakal terjawab selepas mesyuarat First Instance Body (FIB), hari ini.

Sebelum ini, PDRM FC diberikan lesen berserta sekatan dengan tempoh sehingga semalam untuk mengemukakan maklumat tambahan bagi memenuhi keperluan pelesenan membabitkan aspek kewangan dan infrastruktur.

Menurut sumber, kedudukan PDRM FC akan diputuskan selepas mesyuarat berkenaan kerana Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sudah mengesahkan 12 pasukan akan bertanding dalam Liga Super musim 2026/2027.

“Kena tunggu mesyuarat FIB esok (hari ini), mesyuarat akan putuskan sama ada permohonan PDRM diterima atau sebaliknya. Biasanya akan ada kenyataan yang akan dikeluarkan.

“Apa yang pasti, 12 pasukan akan berentap dalam saingan Liga Super. Jumlah itu telah dipersetujui secara bersama dalam mesyuarat sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelab yang telah mengesahkan penyertaan adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC (Imigresen FC), Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC dan Melaka FC.

Sekiranya gagal memenuhi syarat ditetapkan, Kelantan Red Warrior FC dilihat berada di kedudukan terbaik untuk menggantikan PDRM FC selepas berjaya melengkapkan dokumentasi diperlukan selain menunjukkan tahap kesiapsiagaan yang lebih meyakinkan.

Dua lagi kelab Liga A1 Semi-Pro, UM Damansara United FC dan Bunga Raya FC turut memohon penyertaan ke Liga Super, manakala Armed Forces FC memilih untuk tidak bertanding.

Musim baharu akan bermula dengan aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang turut dikira sebagai perlawanan pertama Liga Super, menyaksikan JDT menentang naib juara liga, Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Ogos. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN