LKAN: Kepincangan kewangan tidak sepatutnya berlaku

Kepincangan kewangan dalam agensi persekutuan tidak sepatutnya berlaku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masalah kepincangan kewangan yang berlaku dalam agensi Persekutuan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu dinoktahkan kerana ia secara terus memberi persepsi negatif pada negara.

Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, masalah kepincangan kewangan terus berlaku setiap kali Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentangkan.

Menurutnya, masalah tersebut terutama pengurusan agensi dan GLC kerajaan tidak seharusnya prosedur operasi standard (SOP) dan tatakelola terutama dalam bidang perakaunan yang ditetapkan sebelum ini sudah cukup baik.

“Jadi, masalah kepincangan kewangan yang dibentangkan oleh LKAN itu perlu dijadikan sebagai satu pengajaran, supaya laporan itu tidak dipandang remeh. Kita tidak mahu ia berlaku lagi pada kemudian hari.

“Ini semua merupakan wang rakyat sendiri daripada pelbagai cukai yang dibayar, jadi seharusnya ia digunakan dengan sebaik mungkin tanpa ada sebarang masalah kepincangan berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, media melaporkan, LKAN yang dibentangkan kelmarin mendedahkan beberapa kepincangan kewangan dalam lima agensi Persekutuan dan GLC yang membawa kerugian lebih RM3 bilion bagi tahun 2022.

Agensi-agensi tersebut ialah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE), Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Antara lain yang turut didedahkan di dalam LKAN adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berdepan risiko kecairan tunai pada masa akan datang dan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang turut mengalami kerugian bersih berjumlah RM257 juta manakala liabiliti berjumlah RM5.746 bilion.

Mengulas lanjut, Abu Sofian berkata, pendedahan laporan LKAN secara tidak langsung mencetuskan persepsi negatif pada masyarakat dan pelabur mengenai pengurusan agensi kerajaan serta GLC.

Tegasnya, masalah kepincangan kewangan adalah perkara yang amat memalukan dan terpaksa ditanggung oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Pendedahan daripada laporan LKAN itu akan dikaitkan dengan keadaan korupsi dan hanky-panky yang berlaku di dalam negara. Jadi kerajaan perlu ambil langkah agresif dan drastik bagi menangani kepincangan tersebut.

“Namun, perlu diakui situasi tersebut sukar untuk diperbetulkan kerana ia akan mengambil masa yang lama terutama dalam keadaan ekonomi semasa. Ini merupakan cabaran besar perlu dihadapi oleh kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN