PETALING JAYA: Sebanyak empat agensi persekutuan mempunyai baki pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM5.338 bilion.
Perkara itu berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Ia membabitkan baki pinjaman berjumlah RM3.465 bilion Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK), Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) (RM0.767 bilion), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) (RM0.686 bilion) dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) (RM0.420 bilion).
Menurut laporan itu, pinjaman LPK bertujuan perolehan tanah dan sebahagian daripada kos pembinaan di Pulau Indah, Klang yang dikenali sebagai Port Klang Free Zone.
Pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan untuk LLM pula bagi membiayai pembinaan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, Jambatan Pulau Pinang dan sebahagian Lebuh Raya Utara-Selatan
Pinjaman Felda bertujuan menyediakan bayaran perkhidmatan berkaitan operasi utama dan pemberian bantuan kos sara hidup kepada peneroka.
Baki pinjaman RAC pula berkaitan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan bagi pembelian 25 buah lokomotif diesel, 150 Bogie Pallet Wagon dan pembayaran elaun kepada jurutera pelatih.
Kata laporan itu, sebanyak tiga daripada empat agensi persekutuan sudah menjadualkan semula tempoh bayaran balik pinjaman sehingga tahun 2047.
“Bagi LLM pula tiada jadual pembayaran balik pinjaman ditetapkan. Perkara ini memberi kesan kepada Kerajaan Persekutuan yang perlu menanggung kos kewangan melebihi tempoh sepatutnya,” katanya. – UTUSAN










