LONDON: Michael Carrick tidak mahu terburu-buru mendesak kelab menentukan masa depannya biarpun Manchester United semakin hampir ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Bekas pemain tengah The Red Devils itu menggalas tugas sebagai ketua jurulatih sementara sehingga akhir musim ini selepas pemergian Ruben Amorim pada Januari lalu.
Di bawah kendaliannya, United mempamerkan peningkatan ketara termasuk melakar kemenangan ke atas Manchester City dan Arsenal, sekali gus melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris(EPL).
“Saya sudah katakan berkali-kali, saya seronok berada di sini dan menikmati peranan ini.Kami berada dalam prestasi yang baik, tetapi masih banyak yang perlu dicapai.
“Kami mahu terus meningkat dan mencapai beberapa sasaran penting musim ini. Soal masa depan, saya akan lihat kemudian,” katanya.
Pengendali berusia 44 tahun itu turut menegaskan beliau tidak menetapkan sebarang tarikh akhir untuk mengetahui nasibnya bersama kelab gergasi England itu.
“Ia bukan sesuatu yang saya kejar. Saya percaya segala-galanya akan menjadi jelas apabila tiba waktunya,” ujarnya.
Dalam masa sama, Carrick mengakui peluang mengemudi United merupakan satu penghormatan besar dan beliau bertekad untuk terus memacu pasukan ke tahap lebih tinggi.
United kini berada di landasan terbaik untuk kembali bersaing di pentas elit Eropah, namun persoalan sama ada Carrick akan kekal sebagai pengendali tetap masih belum terjawab.- AGENSI










