Anak-anak utamakan keluarga angkat, ibu berasa disisih

Anak-anak utamakan keluarga angkat, ibu berasa disisih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di penghujung usia, seorang ibu tidak lagi mengharapkan banyak perkara. Cukuplah kebahagiaan yang sederhana, hati yang tenang dan sentiasa berada di samping orang-orang tersayang.

Kebahagiaan bagi mereka bukanlah tentang memiliki wang ringgit dan kemewahan, tetapi masih mempunyai tempat di hati anak-anak yang pernah dibesarkan. Namun bukan semua ibu bernasib baik dan berpeluang meraih perhatian anak-anak.

Ada ibu yang diuji dengan sikap anak-anak sehingga membuatkan mereka rasa terasing dan disisih. Minggu ini saya kongsikan kisah Maimon, (bukan nama sebenar) yang diuji dengan perasaan tersisih apabila anak- anak lebih rapat dengan ibu angkat berbanding ibu kandung.

Menurut Maimon, dia tidak pernah menafikan kebaikan ibu angkat tersebut, tetapi jauh di sudut hati ada perasaan yang sukar diungkapkan.

Ujar wanita berusia 66 tahun itu, dia tidak berniat untuk membuka aib keluarga sendiri. Apa yang dikongsikan hanyalah luahan hati seorang ibu yang pernah diuji dengan harapan ia boleh menjadi pengajaran untuk orang lain agar lebih menghargai orang tua dan menjaga hubungan kekeluargaan.

“Saya bukan ibu yang sempurna. Ada kala hati terluka dengan sikap anak-anak, tetapi tidak pernah mengurangkan kasih sayang terhadap mereka. Walaupun anak-anak lebih rapat dengan ibu angkat, saya memilih untuk berdiam.

“Setiap kali ia muncul perasaan negatif, saya cepat-cepat mengingatkan diri. Melihat kebaikan wanita yang pernah membantu saya dan anak-anak suatu ketika dahulu,” ujarnya dalam pertemuan diatur baru-baru ini.

Menurut Maimon, walaupun dia tidak lagi menjadi tempat pertama, dia tahu kasih yang ditanam pada anak-anak tidak pernah hilang. Menyingkap kehidupan lalu, menurut Maimon apa yang dilalui tidak mudah.

Dia diceraikan selepas suami memilih untuk berkahwin lain dan terpaksa membesarkan kelima-lima anak yang masih kecil sendirian. Dalam kesusahan tanpa sumber mencukupi, dia berusaha memastikan anak-anak cukup makan, pakai dan memberi seluruh jiwanya sebagai seorang ibu.

Ketika itulah hadir seorang wanita, Fauziah, (bukan nama sebenar) yang banyak mengubah kehidupan mereka sekeluarga. Sejak hari pertama Fauziah menyatakan kesediaan untuk membantu hingga 30 tahun berlalu, wanita itu tidak pernah meninggalkannya dan anak-anak.

Wanita itu membantu dalam banyak perkara. Makan minum, persekolahan dan termasuklah menguruskan majlis perkahwinan anak-anaknya.

“Kehadirannya seperti pelengkap dalam kehidupan saya dan anak-anak. Pengorbanan Fauziah sekeluarga bukan biasa-biasa,” ujarnya.

Menyambung cerita, kata Maimon sikap anak-anak yang sentiasa mengutamakan ibu angkat bukan sekali dua, tetapi berkali-kali. Setiap keputusan besar anak-anak bukan datang kepadanya. Soal pendidikan, kerja dan jodoh semuanya dirujuk kepada ibu angkat.

Malah perkara kecil, termasuk kewangan, nama ibu angkat yang disebut dahulu.

“Mak bukan tahu sangat. Itulah ayat yang sering keluar daripada mulut anak-anak,” luahnya.

Sebagai seorang ibu, akui Maimon dia memang terasa dengan kata-kata tersebut.

“Saya tahu siapa diri saya. Orang kampung yang tidak berpelajaran tinggi. Mungkin sebab itu juga anak-anak memilih orang lain untuk bercerita,” ujarnya.

Menurut Maimon ketika itu bukan cemburu yang muncul tetapi benar-benar rasa tidak diperlukan. Menyambung cerita kata Maimon, dia tahu kemungkinan anak-anak tidak begitu rapat dengannya kerana sikap tegas dan terlalu keras kepada anak-anak ketika membesarkan mereka.

“Melalui fasa perceraian ia memberi kesan emosi yang membuatkan saya tertekan dan menjadi lebih tegas, keras ketika mendidik mereka.

“Mungkin anak-anak melihat saya tidak menyayangi mereka, sedangkan saya terpaksa menanggung beban yang berat ketika itu,” imbasnya.

Sehingga hari ini, dia tidak pernah menyalahkan Fauziah walaupun anak-anak lebih rapat dengan ibu angkat. Dia tahu Fauziah seorang wanita yang baik.

Ketika hidupnya runtuh selepas perceraian, wanita itulah yang datang menhulur tangan. Memberi tempat bergantung dan memberi ruang untuk dia bangkit semula. Dia dijadikan pembantu rumah ketika wanita itu keluar bekerja.

Tanggungjawabnya mengemas rumah, memasak dan menguruskan apa yang termampu. Dan paling besar pengorbanannya dia menjaga anak-anak wanita itu seperti mana dia menjaga anak-anaknya sendiri.

Anak-anaknya seramai lima orang Zam, Niza, Ris, Fi dan Am, (bukan nama sebenar) pula membesar bersama di rumah itu. Bermain dan makan bersama.

Fauziah sekeluarga bukan lagi sekadar jiran, tetapi menjadi tempat anak-anak bermanja, tempat mereka mengadu dan tempat mereka berasa difahami.

Hari berganti hari, minggu berganti bulan dan tahun. Mei depan genap 30 tahun hubungan Maimon dan keluarga angkat anak-anaknya.

Tiga dekad bukan tempoh yang singkat. Ia bukan sekadar hubungan, tetapi sebuah ikatan yang dibina dengan masa, pengorbanan dan kasih sayang. Menurut Maimon, di penghujung usia tiada apa lagi diharapkan. Dia tidak meminta kemewahan, tidak juga mengharap pujian atau sanjungan.

“Saya hanya mahukan ketenangan. Kebahagiaan saya apabila melihat anak menantu dan cucu bahagia,” ujarnya.

Daripada Kisah Maimon ini memberi banyak pengajaran termasuk tenang nilai kasih sayang, saling menghargai dan tanggungjawab.

Apa yang berlaku pada usia Maimon juga adalah realiti yang perlu difahami oleh setiap anak. Apabila usia meningkat, emosi ibu bapa menjadi tidak stabil dan menjadi lebih sensitif. Pengalaman hidup yang lalu juga sedikit sebanyak mempengaruhi kestabilan emosi ibu seperti Maimon.

Sebagai anak, kepekaan terhadap perubahan sikap ibu bukan sekadar tanggungjawab, tetapi tanda kasih sayang. Walaupun hubungan anak dengan ibu diuji dengan jarak atau tidak sempurna,

Allah tetap meletakkan ihsan iaitu berbuat baik kepada ibu bapa sebagai keutamaan.

Sebagaimana Firman Allah SWT, “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan Dia dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa” – (Surah Al-Isra’ ayat 23).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN