SEBELUM ini wujud cadangan untuk mengembalikan semula kakitangan kerajaan wanita bersara pada usia 50 tahun, usaha ini wajar dilihat sebagai langkah strategik dan berani dalam merangka semula struktur tenaga kerja negara.
Dalam keadaan pasaran kerja yang semakin kompetitif, peluang pekerjaan terhad serta tekanan peningkatan kos sara hidup, membolehkan dasar ini menjadi mekanisme seimbang antara kebajikan wanita dan keperluan generasi muda.
Wanita dalam sektor awam telah lama menjadi tonggak pelaksanaan dasar kerajaan. Mereka menyumbang tenaga, komitmen dan kepakaran secara konsisten. Namun, pada usia 50 tahun, ramai wanita berada pada fasa kehidupan yang menuntut perhatian lebih kepada keluarga.
Mereka perlu membimbing anak remaja, menjaga ibu bapa yang uzur, serta mengurus keperluan rumah tangga yang semakin kompleks. Dengan persaraan wajib pada usia ini, kerajaan memberi ruang kepada wanita untuk mengimbangi semula kehidupan dengan lebih tenang dan sejahtera.
Pada masa sama, dasar ini membuka ruang besar kepada generasi muda untuk memasuki sektor awam. Setiap tahun, ribuan graduan memasuki pasaran kerja dan bersaing untuk peluang yang terhad. Apabila kekosongan jawatan meningkat akibat persaraan wajib, kerajaan dapat menyerap lebih ramai tenaga muda.
Langkah ini mengurangkan kadar pengangguran, meningkatkan mobiliti kerjaya serta memperkukuh keupayaan pentadbiran dengan tenaga kerja yang lebih celik teknologi dan inovatif.
Dari sudut organisasi, kemasukan berterusan tenaga baharu mempercepatkan proses pembaharuan sistem pentadbiran. Sektor awam akan bergerak lebih dinamik dan responsif terhadap perubahan semasa.
Dalam era digital, kerajaan memerlukan sumber manusia yang cepat menyesuaikan diri dengan teknologi baharu bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Walaupun sesetengah pihak bimbang kehilangan pengalaman, namun kerajaan masih boleh mengekalkan kepakaran wanita melalui peranan kontrak, khidmat nasihat atau mentor.
Kaedah ini memastikan ilmu tidak hilang, malah terus dimanfaatkan dalam bentuk yang lebih fleksibel. Dalam masa sama, wanita yang bersara boleh meneroka bidang baharu seperti keusahawanan, pendidikan komuniti dan kerja sosial.
Dari aspek kesihatan, persaraan lebih awal membantu mengurangkan tekanan kerja yang berpanjangan. Wanita memperoleh ruang untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental serta menikmati kehidupan yang lebih seimbang.
Hal ini menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup secara menyeluruh dan selari dengan aspirasi negara untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan produktif.
Dari sudut ekonomi, walaupun persaraan awal dilihat meningkatkan tanggungan kerajaan, namun kesan jangka panjangnya lebih seimbang. Tenaga muda yang lebih produktif dapat meningkatkan kecekapan ekonomi negara. Pada masa sama, wanita bersara masih boleh menyumbang melalui aktiviti ekonomi seperti perniagaan dan pelaburan.-UTUSAN
AZLIZA AZIZUL
Johor










