KANGAR: Jajaran politik baharu berkemungkinan wujud membabitkan penyatuan parti-parti politik Melayu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, jajaran baharu itu wajar dalam mempertahankan nasib orang Melayu dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu.
Beliau berkata, pihaknya menyokong penuh sekiranya jajaran baharu itu dapat direalisasikan dan diuruskan dengan baik pada masa akan datang.
“Saya nampak perkara paling penting sekali ialah penyatuan parti-parti Melayu ini mesti diadakan. Kemungkinan besar ada jajaran baharu dan sebagainya.
“Kita mendoakan agar jajaran baharu ini diuruskan dengan lebih baik demi Melayu dan mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Apa pun keputusan kelak, kita akan menanti ketetapan di peringkat pusat,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.
Sementara itu, Abu Bakar yang juga Menteri Besar berkeyakinan tiada sebarang usaha digerakkan bagi menjatuhkan pentadbiran kerajaan negeri sedia ada khususnya menerusi undi tidak percaya.
Menurutnya, seandainya berlaku gerakan tersebut, semua pihak seharusnya berpegang kepada prinsip di mana kesetiaan kepada raja dan negara hendaklah diutamakan.
“Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) juga semestinya melibatkan kos dan keperluan jentera pilihan raya yang sangat tinggi, malah pendekatan dizahirkan melalui titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebelum ini perlu diambil kira oleh semua pihak.
“Setakat ini, saya yakin tidak akan berlaku sebarang usaha menjatuhkan kerajaan negeri melalui undi tidak percaya. Jika ada pun, perkara itu tidak semestinya perlu menunggu sidang DUN kerana ia boleh dilakukan pada bila-bila masa.
“Dan saya percaya, titah Tuanku (Raja Perlis) telah mengambil kira pelbagai faktor termasuk tempoh masa pentadbiran yang masih berbaki lebih setahun,” katanya.
Katanya, meskipun wujud sedikit kemelut antara Bersatu dan Pas di peringkat pusat ketika ini, beliau memberi jaminan hubungan kedua parti itu di negeri ini kekal harmoni.-UTUSAN










