KOTA KINABALU: Kementerian Pengangkutan diminta untuk melanjutkan tempoh pemberian subsidi tiket penerbangan daripada tiga hari kepada tujuh hari sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, tambahan hari itu akan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Sabah pulang berhari raya bersama keluarga.
“Namun, apa yang menjadi perhatian saya adalah bagaimana mekanisme pemberian subsidi ini akan dilaksanakan.
“Jadi, saya berharap agar kementerian dapat memberi penjelasan serta perincian tentang perkara ini,” katanya semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan telah meluluskan pemberian subsidi tiket penerbangan selama tiga hari sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.
Mengulas tentang isu sekolah daif, Suhaimi berkata, masih terdapat banyak sekolah dalam keadaan daif dan tidak selamat untuk digunakan oleh pelajar.
“Pada masa ini, beberapa sekolah rendah di kawasan Parlimen saya menggunakan bangunan kabin dan ada antara kabin tersebut mengalami kerosakan serta tidak selamat digunakan,” katanya.
Antaranya satu bangunan kabin di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Pisau dan bangunan kabin di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Manila yang tidak dapat digunakan pada sesi persekolahan pada 9 Mac ini.
Menurutnya, beliau telah melawat sendiri bangunan kabin SK Sungai Manila dan difahamkan murid pada sesi ini akan
mengikut pembelajaran di kaki lima bangunan sekolah tersebut.
Kata beliau, perkara ini sepatutnya tidak berlaku dan pihak berwajib serta agensi berkaitan sebaiknya duduk berbincang bagi menyelesaikan isu sekolah daif sebegini.
“Bagaimana anak-anak ini mahu mendapatkan suasana pembelajaran yang baik sekiranya kemudahan asas pembelajaran mereka tidak dapat dipenuhi dan disediakan,” katanya. – UTUSAN










