WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran bahawa Amerika belum selesai menyerang Iran ketika serangan diteruskan pada Selasa.
Bagaimanapun, Teheran memperluaskan serangannya terhadap negara-negara Teluk selepas sekutunya, kumpulan Houthi di Yemen mengancam untuk menyekat pelabuhan-pelabuhan Arab Saudi.
Dua minggu selepas pertempuran antara kedua-dua musuh tradisi itu kembali tercetus, Trump berkata, Iran memerlukan lebih 20 tahun untuk pulih daripada kemusnahan yang dialaminya akibat perang di Asia Barat.
“Jika kita berundur sekarang, Iran akan mengambil masa 20 hingga 25 tahun untuk membina semula negaranya,” katanya.
“”Kita langsung belum selesai. Kita tidak akan berundur buat masa ini,” tambahnya.
Tentera Amerika berkata, ia telah menamatkan malam ke-11 berturut-turut serangan terhadap Iran dan memaklumkan bahawa sasaran mereka ialah infrastruktur ketenteraan bagi terus melemahkan keupayaan Iran mengancam perkapalan komersial di Selat Hormuz”
Trump turut berkata, sasaran ketenteraan Amerika yang seterusnya mungkin ialah kompleks bawah tanah yang dikenali sebagai Pickaxe Mountain, iaitu sebuah tapak nuklear bawah tanah berhampiran Natanz yang menurut perisikan Barat disyaki menjadi lokasi Iran membina kemudahan pengayaan uranium yang tidak diisytiharkan.
“Kami akan menyerang kawasan itu tidak lama lagi dan dengan serangan yang sangat besar,” kata Trump dan menambah bahawa beliau lazimnya tidak akan mengumumkan sasaran serangan. – AFP










