Betullah orang kata anak pembawa rezeki, saya percaya itu - Siti Saleha - Utusan Malaysia

Betullah orang kata anak pembawa rezeki, saya percaya itu – Siti Saleha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Siti Saleha atau lebih mesra disapa sebagai Sally mengakui dirinya terbuka untuk melibatkan anaknya, Indra Mateen Fitton dalam kempen pengiklanan.

Menurut Sally, dia sudah menerima tawaran membabitkan anak sejak sebelum bersalin lagi apabila dilantik sebagai duta sebuah jenama kelengkapan bayi, namun tetap meletakkan batasan demi menjaga privasi dan keselamatan si kecil.

“Ya, memang ada beberapa kempen yang saya buat bersama anak. Sebelum saya bersalin lagi saya sudah dilantik sebagai duta Mothercare.

“Mereka memang bertanya sama ada saya okey untuk memperkenalkan bayi selepas saya bersalin. Saya terbuka, cuma saya mahu tunggu sehingga saya sendiri benar-benar bersedia untuk menunjukkan wajah anak.

“Pada masa sama saya tetap berhati-hati. Saya tidak mahu terlalu banyak dedahkan dia. Saya anggap semua ini rezeki untuk anak,” katanya ketika ditemui di sidang media Siri Travelog Hotlink: Geng Bijak Berbajet, baru-baru ini.

Tambah Sally, dia dan anaknya juga pernah menjayakan beberapa kempen bersama, malah mengakui kehadiran cahaya mata membawa limpahan rezeki buat keluarganya.

“Kadang-kadang produk itu bukan produk bayi pun, tapi mereka tetap mahu masukkan bayi dalam video. Saya sebenarnya cuba elakkan, tapi mereka tetap nak. Jadi saya ikut sajalah. Memang betul orang kata anak itu pembawa rezeki dan saya percaya perkara itu,” jelasnya.

Dalam masa sama, aktres itu mengakui dirinya kini berada di fasa seronok menjadi seorang ibu kerana tidak mahu terlepas melihat perkembangan tumbesaran putera kesayangannya.

“Sekarang semua benda dia nak masuk mulut. Dia dah pandai minum menggunakan straw dan dah mula makan makanan pejal. Yang saya kagum, dalam masa tiga hari sahaja dia dah boleh minum menggunakan straw.

“Dia juga dah banyak membebel dan bercakap. Saya rasa dia dah mula menggunakan kaki dengan kuat. Mungkin dia akan berjalan sebelum merangkak. Entahlah, saya rasa dia agak cepat membesar.

“Sebagai ibu, saya tidak mahu terlepas setiap perkembangan penting anak. Setiap hari dia belajar benda baharu. Saya memang nak berada di sisi dia.

“Menjadi seorang ibu memang pengalaman yang sangat berbeza. Saya sangat suka menjadi ibu walaupun ia mudah dan sukar pada masa yang sama,” jelasnya.

Pun begitu, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu turut mengakui perkara itu juga membuatkan dirinya berat hati untuk kembali aktif berlakon, selain mahu sentiasa berada di sisi si kecil.

“Saya memang sudah ada beberapa tawaran berlakon. Cuma saya tidak mahu terlepas momen-momen penting anak membesar. Kalau boleh saya mahu tangguhkan dulu.

“Tapi sekarang bila tengok banyak drama menarik, saya mula rasa rindu mahu kembali berlakon. Mungkin dalam masa beberapa bulan lagi saya akan kembali ke set penggambaran, Insya-Allah,” ujarnya.

Untuk info, Sally mendirikan rumah tangga dengan pereka fesyen, Joshua Fitton pada 15 Februari 2025 dan dikurniakan cahaya mata sulung, Indra Mateen Fitton pada 3 Januari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN