Kuota jawatan ketua kampung UMNO masih dalam rundingan - Utusan Malaysia

Kuota jawatan ketua kampung UMNO masih dalam rundingan

Ketua kampung
RIZAM Ismail bergambar bersama ahli jawatankuasa masjid dan surau pada Majlis Penyerahan Sumbangan Ramadan Kepada Masjid dan Surau Sungai Air Tawar di Sabak Bernam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Kuota kepada UMNO bagi jawatan ketua kampung di negeri ini dikatakan masih di peringkat rundingan walaupun terdapat dakwaan parti itu ditawarkan 75 kerusi berbanding 373 keseluruhan.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Rizam Ismail berkata, kuota tersebut masih di peringkat rundingan namun ia dalam fasa akhir dan pelantikannya akan dibuat dalam masa terdekat.

“Ia dalam fasa akhir sebelum kita membuat pelantikan,  jadi insya-Allah kalau tak ada apa-apa halangan kita akan membuat pelantikan dalam masa terdekat. Soal kuota masih dalam bentuk rundingan, saya harap orang ramai menunggulah, sekiranya sudah dimuktamadkan kita akan umum dan pelantikan akan dibuat.

“Pelantikannya adalah kepada keseluruhan 373 ketua kampung di seluruh negeri dan ia dibuat secara berperingkat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Ramadan Kepada Masjid dan Surau Sungai Air Tawar, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia memaklumkan Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Borhan Aman Shah memberitahu UMNO bersetuju dengan tawaran 75 jawatan ketua kampung, namun ia dibuat secara verbal.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, di peringkat PH sudah pun mempunyai senarai nama dan dijangka akan ada mesyuarat akhir pada bulan ini untuk memuktamadkan pelantikan termasuk 75 kuota UMNO yang sudah diminta untuk kemukakan senarai nama.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin memaklumkan isu tersebut sudah selesai dan tidak lagi timbul pertikaian antara mereka dengan PH Selangor dan akan membuat pengumuman rasmi mengenai pelantikan ketua-ketua kampung.

Akhbar ini dalam analisisnya pada khamis lalu mengkritik UMNO negeri ini supaya tidak terlalu meminta, sebaliknya menerima tawaran tersebut untuk membina keharmonian dengan PH khususnya berkaitan pelantikan ketua-ketua kampung.

Permintaan tersebut didakwa menjadi kontra kepada penolakan UMNO terhadap tawaran jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tindakan menekan dan menyatakan hak sebagai parti yang menyokong kerajaan pada akhirnya akan menimbulkan persepsi-persepsi buruk kepada rakyat bahawa UMNO sedang cuba kembali menguasai Selangor melalui PH. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN