UMNO Selangor jangan terlalu meminta

UMNO Selangor jangan terlalu meminta

UMNO dilihat menjadikan peluang bersama PH di peringkat Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk cuba kembali menguasai Selangor. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMNO wajar terima formula dan tawaran untuk membina keharmonian dengan Pakatan Harapan (PH) Selangor khususnya berkaitan pelantikan ketua-ke­tua kampung di negeri ini selepas parti itu menolak jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tindakan menekan dan menyatakan hak sebagai parti yang menyokong kerajaan pada akhirnya akan menimbulkan persepsi-persepsi buruk kepada rakyat bahawa UMNO sedang cuba kembali menguasai Selangor melalui PH.

Ini kerana cubaan komponen Barisan Nasional (BN) itu untuk merampas kembali negeri penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi gagal selepas pertama kali tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 2008.

Cubaan dalam laluan pada PRU13 sehingga PRU15 serta beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) termasuk Langkah Kajang pada 2014 gagal dikuasai parti keramat orang Melayu itu sehingga pada hari ini tiada satu pun Parlimen di Selangor dipegang oleh UMNO.

Justeru, UMNO dilihat menjadikan peluang bersama PH di peringkat Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk cuba menguasai kembali Selangor selepas tindakan bertembung dengan seteru mereka lebih 20 tahun itu tidak membuahkan hasil.

Seperti kata orang if you cannot fight them, join them, itulah situasi yang sedang dilihat oleh rakyat Selangor terhadap UMNO ketika ini.

Namun, keadaan menjadi ketara apabila krisis antara kedua-dua blok terbesar itu dapat dihidu terutama sekali selepas mereka mengumumkan menolak tawaran untuk memegang 20 kuota ahli majlis di sembilan PBT seluruh negeri.

Malah, penolakan s­e­patutnya dilihat ‘merendah diri’ memandangkan mereka cuma memenangi dua daripada 12 kerusi ditandingi dalam PRN pada Ogos tahun lalu tercalar apabila terdapat permintaan yang menjadi kontra kepada penolakan tersebut.

Permintaan mahu ter­libat dengan pelantikan jawatan 373 ketua kampung Melayu tradisi mencetus perbualan dalam kalangan rakyat yang melihat UMNO sebagai demand, seolah-olah mempunyai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang banyak.

Situasi sedemikian kemudian mencetuskan ‘cakap-cakap’ dalam kalangan penyokong kedua-dua blok yang mengatakan parti itu mempunyai agenda tersendiri untuk kembali me­nguasai negeri ini.

Ia termasuklah teori seperti pelantikan Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Sungai Tawar, Datuk Rizam Ismail sebagai Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memegang portfolio Kemajuan Desa dan Wilayah selain Timbalan Perdana Menteri.

Kedudukan yang selari itu sekali gus mencetuskan dakwaan UMNO sedang memanfaatkan peluang untuk menguasai Selangor melalui PH. Bagaimanapun ukurannya adalah pada pilihan raya nanti.

Namun, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin ketika dihubungi memaklumkan, isu tersebut sudah selesai dan tidak lagi timbul pertikaian antara mereka dengan PH Selangor dan akan membuat pengumuman rasmi mengenai pelantikan ketua-ketua kampung.

Walau bagaimanapun, keharmoniannya hanya akan kekal sementara UMNO berpegang kepada perjanjian verbal pada awal bulan ini apabila Timbalan Pengerusi PH Selangor, Borhan Aman Shah memaklumkan mereka bersetuju dengan tawaran 75 jawatan ketua kampung.

“Memang sebagai parti dalam kerajaan mereka menyatakan hak masing-masing. Tetapi, kita ada formula dan ikut seperti digariskan, namun masih terbuka dalam perbincangan. 75 ketua kampung, UMNO akan setuju.

“Di peringkat PH, senarai namanya sudah ada dan ia bukan lagi masalah besar. Pada bulan ini mungkin akan ada mesyuarat akhir untuk menentukannya termasuk 75 yang kita sudah minta mereka kemukakan senarai nama. Persetujuan itu dibuat secara verbal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN