Kuasa Lindsay Lohan dan ingatan cinta pertama - Utusan Malaysia

Kuasa Lindsay Lohan dan ingatan cinta pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sepanjang membesar, saya selalu terjumpa naskhah romantik komedi yang selalu dimainkan Lindsay Lohan di kaca televisyen. Hari ini, melihatnya hadir dalam Irish Wish seperti menjungkir kembali perasaan menjadi seorang muda walaupun saya sudah dewasa dan Lohan juga sudah berusia.

Irish Wish disutradarai Janeen Damian yang terkenal dengan cerita romantik komedi yang selalu dimainkan menjelang perayaan seperti filem Falling for Christmas dan Christmas Waltz.

Ramuan cerita romantik komedi lakonan Lohan mudah sahaja sebenarnya iaitu cinta seharusnya datang dengan keajaiban. Kita sudah tahu penghujungnya; siapa yang akan jatuh cinta kepada siapa. Tapi cerita beginilah yang akan menghimpunkan semua lapisan umur untuk duduk di depan televisyen.

Saya berpendapat cerita begini khusus dibikin untuk kanak-kanak. Maka ia harus dipersembahkan dengan sentuhan fantasi dan permainan visual yang menonjol.

Kita harus memperkenalkan mereka tentang cinta kerana urusan pengkhianatan dan kecewa akan mereka tempuhi sendiri sepanjang mendewasa.

Irish Wish seperti judulnya membawa latar di Ireland, sebuah negara yang kaya dengan keindahan alam semulajadi. Mengisahkan tentang Maddie, seorang penyunting buku yang jatuh hati kepada penulisnya sendiri iaitu Paul. Namun dia memendam perasaan sehingga Paul jatuh cinta kepada kawan Maddie iaitu Emma.

Menjelang beberapa hari sebelum perkahwinan Paul dan Emma, Maddie duduk di bawah pohon yang dikatakan akan mengabulkan apa-apa hajat. Ketika itulah dia meminta agar dikahwinkan dengan Paul.

Impiannya terkabul, tiba-tiba dia berada di tempat Emma dan bakal berkahwin dengan Paul. Namun entah kenapa, mendekati hari perkahwinan banyak petanda menunjukkan dia dan Paul tidak serasi kerana perbezaan cara fikir, keluarga serta paling mustahak kewangan.

Di tengah pergolakan itu, Maddie bertemu jejaka yang juga seorang jurufoto bernama Ed Speleers membuatkan cintanya kepada Paul semakin hilang.

PERSEMBAHAN YANG MENARIK

Awalnya, saya sebenarnya merasakan Lohan mungkin sudah terlalu tua untuk membawakan karakter Maddie. Namun apabila cerita semakin berkembang, akhirnya saya faham dan menerima kehadiran Lohan dalam naskhah ini.

Selain itu, pujian harus diberikan kepada art department mereka kerana menampilkan busana yang sangat mengena dengan pengenalan budaya masyarakat Ireland seperti seni binanya, budaya festival biri-biri, tarian kaki dan lain-lain.

Jika anda menginginkan cerita begini menggugah pemikiran, anda sedang menonton filem yang salah. Irish Wish dicipta untuk menghibur dan mengingatkan bahawa pasti ada hikmah jika orang yang kita cinta tidak memiliki perasaan yang sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×