BAGAN DATUK: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menumpaskan sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah premis di Simpang 4, Hutan Melintang di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 12.30 tengah hari itu, sebanyak 4,415 liter minyak diesel bersubsidi dan beberapa barang kes dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan lebih RM1 juta.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi dijalankan hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan selama seminggu di sekitar Hutan Melintang.
Katanya, berdasarkan risikan, modus operandi sindiket itu adalah dengan cara menggunakan kepala treler yang disyaki diubahsuai tangki asal dan membuat pembelian berulang bahan bakar itu di stesen minyak sekitar Hutan Melintang.
“Minyak diesel itu kemudiannya akan dipindahkan ke dalam skid tank yang diletakkan di premis yang disyaki tidak berlesen.
“Ketika serbuan dibuat, sindiket tersebut sedang memindahkan minyak dari tangki asal kenderaan ke skid tank menggunakan pam penyedut minyak,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, sindiket itu akan menjual minyak diesel bersubsidi kepada pengguna industri dengan mengambil keuntungan berlipat kali ganda
Katanya, minyak diesel yang dibeli di stesen minyak dengan harga RM2.15 per liter boleh dijual di pasaran gelap pada harga RM3 hingga RM4 per liter.
“Dalam serbuan itu, kita telah menyita lapan buah skid tank, peralatan pam penyedut, tiga buah treler dan dua buah lori lima tan untuk siasatan lanjut.
“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM1,002,705. Dua lelaki tempatan berusia 50 dan 61 tahun yang disyaki pemandu dan pengurus premis ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – UTUSAN







