PAC: Kos RM129 juta untuk ramalan awal banjir tidak berbaloi

PAC: Kos RM129 juta untuk ramalan awal banjir tidak berbaloi

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kos RM129 juta yang dibelanjakan kerajaan bagi Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 1 tidak berbaloi kerana fungsinya tidak sepenuhnya berkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, PRAB itu tidak 100 peratus tepat dalam ketetapan aras air banjir dan ramalan berhubung bila serta di mana berlakunya banjir.

“PAC juga mendapati walaupun jumlah keseluruhan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) telah dibayar melalui pemotongan bayaran kemajuan kontraktor, kelewatan pemasangan sistem PRAB tidak sepatutnya berlaku kerana telah menjejaskan kehidupan sosial dan ekonomi rakyat yang terkesan dengan banjir.

“Dalam prosiding yang diadakan, PAC dimaklumkan bahawa anggaran jumlah yang diperuntukkan bagi pembangunan PRAB fasa 1, fasa 2 dan fasa 3 adalah RM1.065 bilion. Atas sebab itu, PAC mahu baki pembangunan bagi PRAB fasa 2 dan fasa 3 disiapkan mengikut masa, kos, kualiti dan peruntukan yang telah ditetapkan.

“Sekali gus merealisasikan matlamat PRAB iaitu menyediakan perkhidmatan ramalan dan amaran banjir yang efektif dan berkesan kepada orang awam,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, program terbabit dilaksanakan di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang kini dikenali sebagai Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

PAC membentangkan laporan tersebut selepas mengadakan prosiding dengan Ketua Setiausaha NRECC, Dr. Ching Thoo A/L Kim, Ketua Pengarah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ahmad Anuar Othman dan Pengarah Kanan Jabatan Meteorologi Malaysia. Dr. Fariza Yunus.

Mas Ermieyati berkata, berdasarkan prosiding yang diadakan, PAC Parlimen membuat tujuh rumusan iaitu antaranya mengenai kelemahan dalam pengurusan projek hingga menyebabkan kelewatan kerja di Lembaga Sungai Kelantan dan Terengganu sebanyak 1,829 hari.

Tambahnya, kerja di Lembagan Sungai Pahang pula mengalami kelewatan sebanyak 1,836 hari.

“Selain itu penaiktarafan rangkaian 3G ke 4G di bawah Program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) menyebabkan berlaku masalah penghantaran data dari stesen ke gateway yang tergantung melebihi tempoh tiga bulan berturut-turut kerana kontrak PRAB yang menggunakan rangkaian semasa iaitu 2G atau 3G.

“Malah, NRECC melalui JPS telah menaik taraf Remote Terminal Unit (RTU) menggunakan liputan komunikasi 4G di 39 stesen daripada 118 stesen bagi menangani isu kelewatan penerimaan data dan isu data tidak diterima.

“Kos PRAB Fasa 2 yang asalnya berjumlah RM385 juta juga meningkat kepada RM522 juta berikutan penambahan sistem siren, kamera web dan program Communication, Educational and Public Awareness (CEPA),” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, kelemahan kontrak PRAB yang tidak memasukkan klausa ‘kenaan denda’ mengakibatkan penyelenggaraan pencegahan tidak dilaksanakan.

“Walaupun PRAB Fasa 1 menelan belanja RM129 juta, ia masih tidak efektif daripada segi hebahan amaran banjir kepada masyarakat memandangkan medium digunakan sebagai hebahan tidak selaras dengan peredaran masa yang memerlukan penyaluran maklumat yang lebih pantas seperti Commercial Mobile Alert System (CMAS).

“Pencapaian ketepatan Ramalan Amaran Banjir mengikut kawasan atau ‘HIT’ yang rendah iaitu 5.6 peratus adalah tidak mencapai sasaran sebagaimana dikehendaki di dalam PRAB yang memakan belanja RM129 juta,” katanya.

Sehubungan itu, ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, PAC mengesyorkan beberapa perkara kepada PETRA dan JPS untuk dilaksanakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN