SEPANG: Pengendali pelabuhan yang dilaporkan ‘tersilap’ memberi kebenaran terhadap sebuah kontena syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM diberi amaran keras selepas ia dilihat berada di lebuh raya baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kejadian yang berlaku itu merupakan satu kesilapan oleh pihak pengendali pelabuhan.
“Kita pun baru mendapat laporan, pengendali pelabuhan tersilap (dengan) membenarkan keluar satu kontena ini. Jadi memang kita akan tegur pengendali pelabuhan itu.
“Pengendali tersebut juga diberikan satu amaran keras bahawa kita tidak mahu melihat mana-mana kontena (ZIM) ini keluar dari (kawasan) pelabuhan kita dan kontena sedia ada itu perlu dibawa keluar secepat mungkin,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas video tular memaparkan sebuah kontena yang tertera dengan nama ZIM dilihat di atas sebuah lebuh raya baru-baru ini.
Video berdurasi 18 saat yang memaparkan sebuah kontena ZIM itu dipercayai dikongsi oleh pengguna menerusi laman TikTok.
Pada 21 Disember lalu, media melaporkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM, perlu mengeluarkan 4,000 kontena kargo transit yang masih terkandas di negara ini terutama di Pelabuhan Klang dalam masa terdekat.
Anthony berkata, ia susulan keputusan kerajaan Malaysia pada 20 Disember untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat itu daripada memasuki mana-mana pelabuhan dalam negara berkuat kuasa serta-merta.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai jumlah terkini bilangan kontena syarikat perkapalan berkenaan, Anthony memaklumkan terdapat sekitar lima kontena ZIM yang masih berada di negara ini.
“Lori itu bukan milik kargo Israel, jangan disalah erti (tetapi) kontena itu tertera jenama ZIM. ZIM ini kerajaan telah buat keputusan pada akhir tahun lalu bahawa kita tak benarkan kapal ZIM masuk (berlabuh).
“ZIM ini adalah sebuah syarikat antarabangsa, ada kontena-kontena mereka (namun) kapal memang tiada masuk ke Malaysia kerana kapal ini sudah dilarang. Hal ini kita tidak boleh tipu kerana NGO (pertubuhan bukan kerajaan) antarabangsa akan ‘track’ pergerakan kapal, jadi memang tiada yang berlabuh di Pelabuhan Klang.
“Sebelum ini (kapal) ZIM memang ada beroperasi di Malaysia, masih terdapat kontena yang belum dikeluarkan sepenuhnya daripada pelabuhan di negara ini dan kita memberikan arahan agar semua kontena dengan jenama ZIM ini tidak boleh keluar (meninggalkan) dari pelabuhan tetapi mesti dibawa ke negara asal mereka atau negara lain,” ujarnya. – UTUSAN











