ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor meminta Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail belajar menghormati bidang tugas orang lain dan bekerja mengikut sistem sedia ada serta bidang kuasa masing-masing.
Muhammad Sanusi berkata, kehadiran Menteri Dalam Negeri itu untuk melawat projek Persekutuan di Kedah tidak salah, namun projek terlibat ada pihak yang menjadi penguasanya mengikut peraturan.
“Kita ada sistem kerja di setiap peringkat dengan fungsi setiap agensi dan jabatan yang ‘establish’. Sistem itu melalui pelbagai proses pemantapan sejak puluhan tahun, sudah dibukukan, diikat dengan arahan pekeliling kerajaan untuk memandu semua sendi kerajaan berfungsi pada peringkat masing-masing.
“Contohnya pelaksanaan lima loji rawatan air (LRA) yang berjalan ketika ini. Pegawai Penguasa Projek (PP) yang dilantik selepas projek itu diluluskan ialah Setiausaha Kerajaan (SUK) Kedah.
“Beliau sebagai penguasa sudah melantik Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah sebagai wakil PP yang kemudian menubuhkan Unit Teknikal JKR iaitu Pasukan Projek Air Kedah (PPAK) pada 2021 dengan objektif mengukuhkan lagi kaedah atau mekanisme pemantauan projek LRA,” katanya dalam hantaran Facebook di sini, hari ini.
Semalam, Saifuddin yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah secara sinis menyindir Muhammad Sanusi apabila sedia memberi peluang seluas-luasnya kepada Menteri Besar itu untuk membangunkan Greater Kedah kerana beliau mahu fokus terhadap projek-projek kecil.
Saifuddin berkata, walaupun Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri belum pernah diadakan, beliau percaya fokus Muhammad Sanusi adalah membangunkan negeri menjadi Greater.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, perancangan menjadi berselerak sekiranya ada pihak enggan mematuhi sistem kerja dan bertindak campur tangan pada tahap bukan bidang kuasanya, sedangkan tugas yang sepatutnya dilakukan pada peringkatnya diabaikan.
Katanya, sindrom itu pernah terjadi ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan 22 bulan dahulu dan perkara sama didakwa kembali diulang ketika ini.
“Puncanya mereka tidak percaya kepada keupayaan pegawai kerajaan yang terlatih dan sistem kerja yang sudah ‘establish’. Bila projek lambat, mereka cari orang lain untuk disalahkan.
“Bila projek itu siap nanti akan ada yang tuntut untuk kepentingan politik. Itu sahaja mereka tahu, politik 24 jam. Belajarlah hormat bidang tugas orang lain, bekerja mengikut sistem dan berada dalam petak masing-masing. Melawat sekali sekala tak salah, tapi projek itu ada penguasanya mengikut peraturan,” katanya. -UTUSAN










