Kerajaan Kelantan mohon maaf, akui gagal sedia bekalan air bersih

Kerajaan Kelantan mohon maaf, akui gagal sedia bekalan air bersih

DR. IZANI Husin (kiri) menyampaikan surat lantikan kepada salah seorang kontraktor terpilih pada Majlis Cabutan Kerja Undi Mega JKR Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, semalam. – UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memohon maaf dan menga­kui tidak mampu menyelenggara serta menyediakan bekalan air bersih mencukupi kepada rakyat sepanjang musim kemarau yang sedang melanda negeri ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Ker­ja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar ne­geri Datuk Dr. Izani Husin ber­kata, hal ini kerana kesemua langkah penyelesaian mengambil masa yang agak lama untuk diselesaikan.

“Jadi, saya mohon maaf kerana kita terpaksa dan sudah tidak boleh buat apa. Kerajaan negeri perlu buat penambahbaikan untuk menambah jumlah air bagi memenuhi keperluan rakyat dan semua proses terlibat termasuk penambahan sebanyak 20 juta liter air akan mengambil masa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya juga tidak mahu me­nyalahkan sesiapa. Kepemimpinan AKSB terdahulu sudah me­lakukan yang terbaik dan kini tiba masa untuk kepemimpinan baharu berbuat lebih baik,” katanya pada sidang media sele­pas Majlis Cabutan Kerja Undi Mega Jabatan Kerja Raya (JKR) Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Kelantan Bil.1/2024 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini semalam.

Dr. Izani memberitahu, kerajaan negeri bersama syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) akan cuba mencari jalan penyelesaian ke­rana masalah bekalan air bersih perlu diberikan keutamaan.

“Kita tidak boleh menyangkal apabila cukup 70 juta liter air nanti, kita perlu meningkatkan lagi kuantiti air berikutan faktor pertambahan populasi rakyat, rumah dan akaun pengguna. Ditambah pula daya tahan paip-paip lama terhadap tekanan air semakin berkurang.

“Semua perkara ini akan dilihat kembali. Saya faham kita sudah bersabar sejak 30 hingga 40 tahun lalu tetapi saya berharap agar rakyat bersabar untuk sedikit masa lagi. Kita akan usahakan agar dalam tempoh masa tertentu bekalan air bersih sampai kepada rakyat,” ujarnya.

Pengerusi Lembaga Pengarah AKSB itu berkata, terdapat tiga permasalahan utama berkaitan bekalan air bersih di negeri ini iaitu sumber air, loji rawatan dan distribusi bekalan air.

“Kita mempunyai masalah dalam ketiga-tiga perkara berkenaan dan dalam menyelesaikan masalah bekalan air terutama pada musim kemarau ini, perlu ada kerjasama antara kerajaan negeri dan rakyat.

“Saya akan adakan satu pro­gram bersama AKSB untuk melihat kawasan-kawasan ter­ke­san teruk dan benar-benar me­merlukan kita menggunakan khidmat lori air kontrak untuk menyampaikan bekalan air bersih kepada rakyat,” katanya.

Tambahnya, rakyat dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkahperlu termasuk berjimat dalam penggunaan air dan menyediakan bekas atau tangki simpanan air bagi tujuan kecemasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini