Kenaikan SST tingkatkan harga bilik hotel

Kenaikan SST tingkatkan harga bilik hotel

Notis tentang kadar baharu SST yang dipamerkan oleh sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor berkuatkuasa 1 Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan kadar baharu Cukai Jualan dan Perkhid­matan (SST) menjadi penyum­bang utama peningkatan harga bilik hotel.

Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) Shaharuddin M Saaid berkata, peningkatan cukai sebanyak lapan peratus ini memberi kesan signifikan kepada perkhidmatan perhotelan sehingga mempengaruhi harga penginapan yang ditawarkan.

Katanya, kenaikan harga bilik hotel berpunca daripada peningkatan harga komoditi dan perkhidmatan semasa yang menyebabkan kos operasi hotel meningkat.

“Kenaikan kadar cukai daripada enam ke lapan peratus ini memang memberi kesan kepada perkhidmatan hotel.

“Impak keseluruhannya mem­beri kesan kepada operasi hotel akibat kenaikan kos perkhidmatan dan produk yang diterima,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Shaharuddin berkata, kenaikan harga penginapan menggambarkan cabaran yang dihadapi industri perhotelan dalam menangani peningkatan kos tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan.

Katanya, industri perhotelan pada masa kini tidak mempunyai pilihan selain menyesuaikan harga bilik seiring dengan kenaikan kos operasi yang dihadapi.

“Sebelum peningkatan SST berlaku, kos operasi hotel telah meningkat secara ketara dise­babkan pelaksanaan gaji minimum yang telah meningkat 25 peratus dari RM1200 ke RM1500.

“Begitu juga dengan peningkatan kos elektrik akibat pelaksanaan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang menyebabkan kenaikan kos tenaga antara 35 hingga 50 peratus.

“Namun begitu, harga penginapan tidak mengalami peningkatan yang ketara. Jika ada, pe­ningkatannya sangat minimum malah ia tidak setimpal dengan kenaikan kos operasi,” katanya.

Sementara itu, golongan pe­niaga seperti pengusaha makanan dan minuman dijangka menaikkan harga bermula semalam berikutan peningkatan kadar SST bagi sektor logistik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr. T. Saravanan berkata, kenaikan itu didorong oleh sikap dalam kalangan peniaga selepas ada peningkatan cukai.

“Ini berkaitan dengan persepsi peniaga. Apabila ada kenaikan dalam cukai, mereka akan mengambil kesempatan ini untuk menaikkan harga barang dan makanan mereka,” katanya

Dalam pada itu, Shopee turut memaklumkan kepada penjual dan pengguna platform e-dagang berkenaan peningkatan kadar caj platform mereka selari dengan peningkatan cukai SST.

Setakat ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Fuziah Salleh berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang aduan berkenaan kenaikan harga disebabkan SST ini.

“Semalam merupakan hari pertama pelaksanaan dan pemantauan melibatkan cukai SST lapan peratus ini, jadi belum ada sebarang aduan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×