Kemarau: Paras air sungai merosot kepada 40 peratus - Utusan Malaysia

Kemarau: Paras air sungai merosot kepada 40 peratus

KEMARAU mengakibat Sungai Kampung Kalibungan, Kota Belud yang mengalami kekeringan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Musim kemarau yang berlaku mengakibatkan paras air sungai di Sabah menurun sehingga 40 peratus pada masa ini.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, beliau akan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sumber Air Negeri akan diadakan esok bagi membincangkan implikasi dan cadangan dalam menangani musim kemarau.

Katanya, semua jabatan dan agensi di bawah kementeriannya akan memberi laporan terkini mengenai keadaan semasa di agensi masing-masing.

Beliau berkata, impak kemarau sudah boleh dilihat apabila paras air sungai mula merosot kepada 10 hingga 40 peratus ketika ini.

“Setakat ini impak kemarau boleh dilihat namun, masih belum mencapai tahap serius.

“Jadi melalui mesyuarat itu nanti, kita boleh melihat maklum balas dan cadangan-cadangan yang akan dikemukakan,” katanya semasa majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Jabatan Pengairan dan Saliran dengan Shaanxi Construction Engineering (Malaysia) Sdn Bhd.

Menurut beliau, sektor pertanian seperti tanaman padi juga telah mula terkesan namun, impaknya terhadap ekonomi akan diketahui selepas mesyuarat esok. Begitu juga dengan bantuan kepada petani terkesan akan dikenal pasti selepas proses penilaian dilakukan.

Setakat ini, antara kawasan pertanian yang terjejas adalah Papar dan Tambunan yang kebanyakan tanaman mereka bergantung kepada sumber air dari sungai.

Mengulas tentang MoU tersebut, Jeffrey berkata, pelaksanaan MoU itu akan membantu menyelesaikan isu pengairan dan mitigasi banjir di Sabah.

Pada peringkat awal, kajian akan dilakukan pada suku keempat tahun ini bagi mengenal pasti keadaan 11 sungai yang akan terlibat dalam pelaksanaan projek mitigasi banjir ini.

“MoU yang melibatkan pelaburan berjumlah RM17 bilion ini amat penting dalam menyelesaikan masalah banjir dan seterusnya membantu meningkatkan keselamatan makanan di negeri ini,” katanya.

Jelas beliau, pelaburan yang dibawa masuk ini akan memberi pulangan pekerjaan sehingga 20,000 orang dan impak ekonomi antara tiga hingga lima ganda. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN