KEB 2024: Wajibkan kuota 70 peratus beli produk bumiputera

KEB 2024: Wajibkan kuota 70 peratus beli produk bumiputera

AMEER ALI MYDIN ketika sidang pleno Kongres Ekonomi Bumiputera 2024. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Golongan bumiputera di seluruh negara diseru agar tidak malu mencontohi perangai Yahudi yang tegar menyokong produk atau perkhidmatan kaum tersebut sendiri.

Saranan itu disuarakan oleh Pengerusi Sesi Libat Urus Kluster Pengukuhan Industri Halal, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin pada sidang pleno Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 hari ini.

“Kita tidak patut malu untuk tiru cara orang Yahudi yang boleh bangkit dengan amat hebat walau di mana berada sebab mereka disokong cukup kuat oleh kaum itu sendiri,” katanya.

Meskipun tidak menyatakan secara spesifik, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad itu dipercayai merujuk konflik antara rejim itu dengan penduduk Palestin di Gaza.

Ia menyaksikan negara haram itu angkuh tidak peduli bantahan antarabangsa atas isu kekejaman mereka kerana yakin gerakan boikot Israel di seluruh dunia tidak berkesan.

Ketika ini dianggarkan hanya ada hampir 16 juta individu berketurunan Yahudi di pelbagai negara dengan Israel yang paling ramai iaitu 7.2 juta diikuti Amerika Syarikat pula 6.3 juta.

Walaupun cuma 0.2 peratus daripada populasi dunia, namun mereka menguasai kekayaan planet bumi ini selain mengawal propaganda media antarabangsa agar kekal pro-Zionis.

Mengulas lanjut, Ameer Ali mengulangi kenyataannya sebelum ini agar pihak kerajaan mewajibkan kuota 70 peratus pembelian produk bumiputera untuk setiap program rasmi.

“Ini termasuk dalam pek bantuan untuk mangsa bencana alam seperti banjir kerana apa yang saya dapati, hampir kesemuanya barangan keluaran bukan bumiputera,” tambahnya.

Keadaan amat janggal itu ternyata mengecewakan diri beliau sendiri, padahal sebahagian besarnya daripada penerima berkenaan di lapangan pula ialah masyarakat bumiputera.

Senario tersebut jelasnya, bertentangan gerakan massa oleh umat Islam di Malaysia yang memulaukan produk syarikat ada kaitan kepentingan dengan Israel secara tidak langsung.

Dalam nada tegas, beliau menyatakan bahawa jika isu sekecil itupun gagal diuruskan oleh pihak kerajaan, apatah lagi masalah besar lebih serius yang dialami kelompok tersebut.

Ameer Ali turut meluahkan kekesalan apabila ada agensi kerajaan yang secara terbuka menolak penggunaan apa-apa produk bumiputera atas alasan kononnya tidak ada jenama.

Situasi pelik berkenaan kata beliau, bukan sahaja memalukan, malah menunjukkan ada usaha terancang pihak tertentu agar syarikat bumiputera tidak dapat bersaing dengan sihat.

“Kalau pihak kerajaan sendiri pun tidak dapat bantu usahawan bumiputera untuk hidup, maka kepada siapakah lagi yang boleh kami harapkan untuk tolong selepas ini?” soalnya.

Justeru, beliau menyarankan agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mewajibkan semua kedai menjual minimum 30 peratus produk syarikat bumiputera.

Pada masa ini ujarnya, polisi tersebut hanya terpakai untuk pasar raya besar tetapi tidak pula kepada rangkaian premis runcit serbaneka yang jauh lebih banyak di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×