KEB 2024 terima lebih 80 resolusi

KEB 2024 terima lebih 80 resolusi

ANWAR Ibrahim menerima Laporan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang berakhir hari ini menggariskan lebih 80 resolusi sebagai panduan bagi melaksanakan agenda pemerkasaan bumiputera.

Resolusi itu diperoleh menerusi libat urus dikendalikan 10 kluster mencakupi pelbagai aspek yang dibentangkan selama tiga hari berlangsungnya kongres itu.

Antara resolusi yang dibawa termasuk menetapkan satu badan untuk menjalankan tadbir urus institut Tahfiz TVET dan memperkukuh jalinan kerjasama program Tahfiz TVET dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Resolusi berkenaan dikemukakan oleh Kluster Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Bagi kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan pula, antara resolusi yang digariskan ialah mengukuhkan sistem pendidikan Islam, memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak dan menangani krisis Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang akhbar hari ini berkata, apa yang penting bukan jumlah resolusi, sebaliknya bagaimana perinciannya diteliti untuk resolusi itu dilaksanakan.

“Setiap kluster mempunyai purata resolusi sekitar lapan dan lebih. Maknanya daripada 10 kluster, ada lebih 80 resolusi. Apa yang penting bagaimana resolusi ini dapat dilaksanakan.

“Pada hemat saya, dua kementerian iaitu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Ekonomi dimana sekretariatnya adalah Majlis Amanah Rakyat (Mara) sendiri sebagai agensi yang melaksanakan,” katanya.

Selain pendidikan, KEB 2024 turut memberikan fokus khas kepada bumiputera di Sabah, Sarawak, serta masyarakat Orang Asli, industri halal, penguasaan teknologi baru dan bernilai tinggi.

Hasil dapatan kongres itu bukan menjadi titik akhir penyelesaian segala permasalahan bumiputera sebaliknya ia menjadi langkah yang perlu diambil kerajaan walaupun jalannya panjang, sukar serta berliku.

KEB 2024 juga diharap dapat memandu kerajaan merangka dasar atau program baru berkaitan bumiputera yang lebih tepat dan efektif serta memenuhi kehendak semasa dan masa depan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN