PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membidas kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman di Dewan Rakyat baru-baru ini yang mendakwa peningkatan kes membabitkan jenayah rogol bawah umur adalah didorong oleh kelemahan dan kegagalan undang-undang sivil.
Beliau secara tegas menyelar tindakan ahli Parlimen terbabit yang hanya memetik sebahagian daripada taklimat disampaikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Jelasnya, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, Kelantan merupakan antara negeri yang merekodkan kes jenayah seksual tertinggi.
“Dalam ucapannya di Parlimen, dia kata peningkatan salah laku ke atas jenayah seksual kanak-kanak ini berpunca daripada kegagalan undang-undang yang ada sekarang sebab tak dilaksanakan enakmen syariah.
“Kanun Jenayah Syariah ini dibuat di Kelantan, tapi Kelantan antara kes paling tinggi di Malaysia.
“Di Kelantan kes meningkat, di Kedah dan Terengganu meningkat (namun) di Pulau Pinang menurun, ini perbandingan data tahun 2022 dengan 2023,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas rakaman ucapan Ahmad Tarmizi di Dewan Rakyat yang tular baru-baru ini di media sosial berkenaan peningkatan kes rogol bawah umur serta mengaitkan dengan kelemahan dan kegagalan undang-undang sivil.
Menerusi rakaman itu, Ahmad Tarmizi turut menyebut supaya undang-undang syariah di negeri-negeri perlu diberikan ruang untuk dilaksanakan dengan sebaiknya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati Ahmad Tarmizi agar tidak memetik sebarang kenyataan secara tidak lengkap atau bersikap menuding jari kepada mana-mana pihak.
“Saya sebut dari segi angka (kerana) angka tidak menipu. Kes di Kelantan antara yang paling tinggi dan (penduduk) Kelantan adalah 98 peratus Melayu Islam.
“Kalau kita tengok pelakunya paling ramai adalah B40, ini statistik polis. Pelakunya bagi setiap 100 orang, 75 peratus membabitkan kelompok B40, maksudnya apa? (Ia) dilakukan oleh golongan yang status ekonominya rendah.
“Jadi sekarang bukan masanya nak tunjuk ini tidak lengkap, ini tak sempurna atau ini salah. Angka menunjukkan yang melakukan (jenayah) adalah di kalangan kenalan sendiri, boleh jadi ahli keluarga.
“Jadi saya nak nasihat kepada MP Sik, tak payah nak ambil satu atau dua segmen secara terpisah, marilah kita ambil tanggungjawab ini secara bersama kerana ini adalah masalah dalam masyarakat kita,” ujarnya.
Secara sinis, Saifuddin juga meminta ahli Parlimen berkenaan agar menghentikan tabiat mencari kesalahan orang lain dan memberikan perhatian di kawasan sendiri.
“Penyakit (masalah) ini ia tidak terhenti dengan menyebut bahawa tak laksanakan syariah inilah kesannya, sebab inilah kita kena pinda RUU 355, inilah kesan Mahkamah Persekutuan kepada kes Nik Elin dan sebagainya, itu semua tabiat tunjuk kesalahan orang, mari kita tengok tempat kita sendiri,” katanya. – UTUSAN










