Kadar zakat fitrah di Terengganu RM10, RM22 - Utusan Malaysia

Kadar zakat fitrah di Terengganu RM10, RM22

SHAIKH Harun Shaikh Ismail (dua dari kiri) menunjukkan kadar bayaran zakat fitrah di Terengganu pada tahun ini selepas Program Agihan Bantuan Zakat Sempena Ramadan di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menetapkan kadar zakat fitrah di negeri ini kepada dua kategori iaitu tidak kurang RM10 dan RM22 pada tahun ini.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata, penetapan kadar zakat itu berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan penduduk Islam di Terengganu.

“Hasil perbincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Zakat, MAIDAM menetapkan dua kategori kadar zakat tahun ini iaitu tidak kurang RM10 dan RM22 bagi mereka yang makan beras Basmathi atau setara.

“Sekiranya ada yang mahu membayar RM15 contohnya, kita tetap terima dan amil perlu merekodkan bayaran RM15 seperti yang dibayar. MAIDAM akan keluarkan pekeliling kepada amil tentang arahan itu.

“Tahun ini, MAIDAM meletakkan sasaran kutipan RM11 juta zakat fitrah berbanding RM10.3 juta yang dikutip pada 2023, selari dengan pertambahan bilangan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Agihan Bantuan Zakat Sempena Ramadan di Kompleks Seri Iman di sini, hari ini.

Sementara itu, Shaikh Harun memberitahu, seramai 903 amil dilantik MAIDAM tahun ini bagi urusan pembayaran zakat dengan mereka turut digalakkan untuk membuat kutipan dari rumah ke rumah.

Selain itu, beliau memberitahu, umat Islam di negeri ini juga boleh membuat pembayaran zakat fitrah atas talian menerusi laman sesawang ezakat.maidam.gov.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN