Kadar keciciran murid menurun dari 2017 hingga 2023 - Utusan Malaysia

Kadar keciciran murid menurun dari 2017 hingga 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memberitahu kadar keciciran murid menunjukkan penurunan dari tahun 2017 hingga tahun 2023.

Menjelaskan perkara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, keciciran murid pada peringkat rendah menurun daripada 0.29 peratus pada tahun 2017 kepada 0.06 peratus pada tahun 2023.

Bagi peringkat menengah pula menurut beliau,  kadar keciciran menurun daripada 1.36 peratus pada tahun 2017 kepada 0.83 peratus pada tahun 2023. 

“Bagi sekolah rendah di bandar, kadar murid yang keluar dari sekolah KPM adalah 0.37 peratus, manakala sekolah rendah di luar bandar adalah 0.10 peratus.

“Untuk peringkat menengah pula, kadar murid yang keluar daripada sekolah KPM adalah 3.13 peratus di bandar dan 4.67 peratus di luar bandar. Kadar ini mengambil kira keseluruhan murid yang bersekolah di Malaysia,” kata beliau  di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang ingin tahu adakah KPM mengenal pasti kadar keciciran murid terutama dalam kalangan pelajar miskin bandar, luar bandar dan pinggir bandar, kanak-kanak Orang Asli.

Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, KPM  menyediakan 18 jenis bantuan persekolahan bagi tahun 2023 bagi mengurangkan jurang pendidikan.

Katanya, bantuan terbabit melibatkan 13 jenis bantuan khusus dan lima jenis bantuan umum yang turut diagihkan untuk murid yang tercicir akibat kemiskinan.

“KPM juga melaksanakan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) supaya semua murid dapat kekal bersekolah terutamanya murid di kawasan luar bandar dan pedalaman. 

“Selain itu, KPM juga memperluaskan konsep K9 kepada sekolah komprehensif 11 (K11) yang dijangka mampu mengurangkan kadar keciciran transisi murid dari Tingkatan 3 ke Tingkatan 4,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN