KEPALA BATAS : Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) akan memperhebat kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menangani isu keciciran dalam kalangan pelajar di negeri ini.
Pengarahnya, Abdul Said Hussain berkata, bagaimanapun, bilangan keciciran pelajar di Pulau Pinang ketika ini masih kecil dan kebimbangan mengenai perkara itu juga tidak wujud sama sekali.
“Kebiasaannya, antara faktor yang menyebabkan berlaku keciciran ialah ketika anak-anak ini transisi dari sekolah rendah ke sekolah menengah.
“Ada juga ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta, sekolah agama tanpa dimaklumkan kepada pihak sekolah dan ada pelajar yang tidak hadir (ke sekolah) kerana membantu ibu bapa.
“Justeru, program jerayawara akan dilaksanakan selepas Aidilfitri nanti dan kita akan libatkan kerajaan negeri, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) termasuk penghulu di daerah tertentu yang berdepan dengan isu terbabit bagi menimbulkan kesedaran dalam kalangan pelajar, keluarga dan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau hari pertama persekolahan sesi 2024/2025 Kumpulan B di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya turut menyasarkan sifar ketidakhadiran pelajar menjelang bulan Ramadan yang akan bermula esok.
“Kita harap pelajar akan terus hadir ke sekolah setiap hari sepanjang bulan puasa dan semangat ini akan diteruskan sehingga Syawal nanti,” katanya.
Sementara itu, katanya, seramai 217,886 murid dan pelajar dari 397 buah sekolah memulakan sesi persekolahan 2024/2025 hari ini.
Katanya, jumlah itu melibatkan 117,585 murid sekolah rendah manakala sekolah menengah pula adalah sebanyak 100,301 pelajar.
“Murid tahun satu yang direkodkan mendaftar pada sesi persekolahan kali ini adalah sebanyak 21,053 melibatkan 270 buah sekolah dan pelajar tingkatan satu pula adalah sebanyak 21,034 dari 127 buah sekolah di seluruh negeri.
“Sebuah sekolah menengah baharu turut memulakan operasi pada sesi hari ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas Bumbung Lima dengan 80 orang pelajar telah mendaftar setakat ini, tetapi, sekolah tersebut boleh memuatkan kapasiti (sehingga) 160 pelajar,”katanya.
Selain SMK Pendidikan Khas Bumbong Lima, Abdul Said berkata, sebuah lagi sekolah rendah, iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Aik Hua yang sebelum ini beroperasi di Lebuh Muntri dalam Daerah Timur Laut telah berpindah lokasi ke Sungai Ara di Daerah Barat Daya.-UTUSAN










