JKKP sita 13 tapak pembinaan, keluar pelbagai notis berkaitan di Pulau Pinang

JKKP sita 13 tapak pembinaan, keluar pelbagai notis berkaitan di Pulau Pinang

JKKP Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengeluarkan 49 notis larangan serta-merta selain 11 notis penambahbaikan menerusi Operasi Tapak Bina (OTP) yang dijalankan di beberapa tapak pembinaan di seluruh negeri ini bermula 27 Februari hingga 6 Mac lalu.

Menurut JKKP Pulau Pinang, pada masa yang sama, pihaknya turut mengeluarkan 13 notis sita, 11 surat arahan serta 15 cadangan kompaun atas pelbagai kesalahan dan pelanggaran perundangan menerusi operasi berkenaan.

“Pihak kami telah menjalankan lawatan mengejut ke beberapa tapak binaan menerusi OTP ini. Operasi ini dijalankan oleh Seksyen Kerja Bina JKKP Pulau Pinang di seluruh negeri dan sebanyak 14 tapak pembinaan telah diperiksa.

“Menerusi OTB ini, JKKP Pulau Pinang telah mengeluarkan 49 notis larangan serta merta, 11 notis penambahbaikan, 13 notis sita, 11 surat arahan dan 15 cadangan kompaun atas pelbagai kesalahan dan pelanggaran perundangan,” katanya di sini, hari ini.

Jabatan tersebut berkata, operasi ini dijalankan bagi memastikan tahap pematuhan Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Selain operasi itu, JKKP turut meninjau tahap keberkesanan langkah-langkah pencegahan yang telah diambil oleh pihak kontraktor, dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di tapak pembinaan yang dilawati,” katanya.

Tambahnya, operasi kali ini lebih menumpukan kepada pengurusan KKP di tapak pembinaan, tanggungjawab Pengurus Projek, penubuhan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan (JKK), pengurusan kerja-kerja mengangkat dan mengawalselia aktiviti-aktiviti kerja di tempat tinggi serta lubang dan tepian terbuka.

“Pihak kami berharap dengan adanya operasi pada kali ini dan tindakan yang telah dibuat dapat memberikan kesedaran kepada majikan dan pekerja untuk mematuhi kehendak dan peraturan dalam memastikan tempat kerja terutamanya tapak pembinaan berada dalam keadaan selamat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN