JKKN pertingkat usaha promosi seni budaya Malaysia

JKKN pertingkat usaha promosi seni budaya Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) berusaha untuk meneruskan pelaksanaan pelbagai program dan acara yang menjurus kepada pembangunan seni budaya.

Ketua pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd. Haris berkata JKKN akan turut melaksanakan program pelancongan budaya yang merupakan program eksklusif pada peringkat negeri.

“Bagi JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2024 atau FPM @ KL 2024 akan diadakan pada 13, 14, 15 dan 16 September 2024 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Program itu dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Persatuan Sukan Tradisional Malaysia atau SUTRA,” katanya pada majlis penutup Bengkel Pemasaran dan Penajaan Seni Budaya 2024 di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Amran berkata, selain Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), JKKN juga turut menawarkan inisiatif berupa kewangan, ruang, khidmat nasihat dan promosi kepada persatuan-persatuan seni budaya yang dikenali sebagai Insentif Seni.

“Pada tahun lepas, sebanyak RM593,000 telah diperuntukkan kepada persatuan seni budaya di bawah insentif seni tersebut dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 73 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara menerima manfaat.

“Bagi tahun ini, insentif JKKN ini telah dibuka kepada NGO pada 15 Februari sehingga 26 Februari yang lalu. Peruntukan maksimum di bawah Insentif Seni adalah sebanyak RM15,000,” jelasnya.

Menurut Amran, selain MOTAC dan JKKN, Yayasan Hasanah juga turut memperuntukkan geran untuk penganjuran program dan acara seni budaya.

“Kelulusan maksimum sehingga RM2.5 juta kepada NGO untuk projek yang menjangkau tempoh tiga tahun, manakala projek perintis dan projek yang lebih singkat jangka masa layak untuk menerima jumlah yang lebih kecil bergantung kepada kertas cadangan yang dikemukakan.

“Mereka yang berminat boleh menyemak dengan MyCreative Venture, Yayasan Sime Darby, Think City dan Yayasan Hai-O yang turut menawarkan dana untuk pelaksanaan aktiviti seni dan budaya,” jelasnya.

Sebanyak 35 ahli pertubuhan seni budaya menyertai Bengkel Pemasaran dan Penajaan Seni Budaya 2024.

Turut hadir pada majlis itu ialah pengarah JKKN WPKL, Hidayatul ‘Ein Mohamad Azmi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN