KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura), Kevin Michael Swampillai mengakui, bank itu tidak pernah membuat pengesahan sama ada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low benar-benar mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak atau sebaliknya.
Dalam prosiding sebelum ini, Swampillai dalam keterangannya berkata, Jho Low sering mewakilkan dirinya kepada pengurusan kanan bank itu sebagai penasihat kepada bekas Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dan Penasihat Emeritus SRC International Sdn. Bhd. ketika itu.
Swampillai turut bersetuju segala transaksi meragukan yang dilakukan oleh SRC International ketika itu membabitkan berjuta ringgit disalurkan kepada dana fidusiari luar tidak akan berlaku sekiranya bank berkenaan membuat semakan.
Saksi pertama dalam kes saman SRC International terhadap Najib dalam kes tuntutan saman dikemukakan syarikat itu terhadap Najib selaku defendan pertama berkata demikian dalam perbicaraan kes itu yang memasuki ketiga semalam.
Dalam tuntutan tersebut, enam bekas pengarah syarikat itu turut dinamakan sebagai pihak ketiga. Sebelum ini, SRC menggugurkan enam individu berkenaan dalam saman itu dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan.
Enam individu itu ialah Datuk Suboh Md. Yassin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.
Swampillai bagaimanapun memberitahu beliau tidak menyedari mengenai tindakan Jho Low yang suka ‘menjual nama’ termasuk nama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ujarnya, berdasarkan pengetahuannya, Jho Low sering menyekutukan dirinya dengan Najib sebagai penasihat dan pelaburan-pelaburan yang dijalankan oleh SRC International.
Terdahulu, Muhammad Shafee mencadangkan bahawa Jho Low menjual dan menyalahgunakan nama Sultan Mizan sehingga Sultan Mizan menyifatkan lelaki itu sebagai karakter yang meragukan.
Pada 7 Mei 2021, SRC International di bawah pengurusan baharu memulakan tindakan perundangan terhadap Najib dan beberapa bekas pengarahnya.
Najib disaman berhubung dakwaan melakukan pecah amanah jenayah dan melanggar kewajipan statutori berhubung pinjaman RM4 bilion Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kepada SRC.
Perbicaraan yang didengar oleh Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung 11 Mac ini. – UTUSAN










