‘Jadikan ini sebagai pengajaran’ - Akmal Saleh

‘Jadikan ini sebagai pengajaran’ – Akmal Saleh

KK Mart
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pemuda UMNO mengingatkan semua pihak agar menjadikan isu stoking kalimah Allah sebagai ‘pengajaran’ supaya ia tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemudanya, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, peringatan itu adalah supaya semua pihak tidak mengambil ringan dalam isu tersebut dan memberi amaran tidak bermain dengan isu melibatkan sensitiviti agama serta perkauman.

Setakat ini, jelasnya, beliau menunggu hasil siasatan polis dan mencadangkan agar hukuman di bawah seksyen 298(A) Kanun Keseksaan dipertingkatkan.

“Pemuda juga mencadangkan untuk hukuman di bawah seksyen 298(A) Kanun Keseksaan ditambah berat lagi agar menjadi satu pengajaran yang keras,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kontroversi tercetus minggu lalu apabila gambar stoking yang tertera perkataan ‘Allah’ dijual di kedai serbaneka KK Mart Bandar Sunway, dan tular di media sosial.

Susulan kekecohan itu, KK Mart mengeluarkan permohonan maaf kepada semua pelanggannya, khususnya masyarakat Islam, dan mengesahkan bahawa tindakan segera telah diambil untuk menghentikan penjualan stoking berkenaan.

Ini termasuk menamatkan kontrak dengan Xin Jian Chang Sdn. Bhd., sebuah syarikat pembekal yang berpangkalan di Batu Pahat, Johor.

Susulan daripada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya telah menerima 42 laporan polis dari seluruh negara berhubung isu penjualan stoking tertulis kalimah ‘Allah’ di sebuah kedai serbaneka KK Mart, Bandar Sunway, baru-baru ini.

Sementara itu di KOTA BHARU: Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan melihat pihak yang terlibat dengan isu stokin kalimah Allah perlu dikenakan hukum sebagai pengajaran supaya perkara ini tidak berulang pada masa hadapan.

Presidennya Nik Saiful Adli Burhan berkata, tindakan itu bertujuan supaya mereka yang terlibat sedar bahawa Islam merupakan agama rasmi Persekutuan sebagaimana tertulis pada halaman pertama perlembagaan negara.

“Isu ini bukan isu kecil kerana ia boleh membuka membuka ruang yang besar dan luas untuk agama Islam dipermainkan. Malaysia ada agama. Maka kenapa agama yang menjadi teras kepada negara ini tidak dihormati dan Tuhan kepada agama ini diletakkan di tempat yang hina iaitu di kaki,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panel Forum Jiwa Madani di Tunjong, di sini semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN